Ticker

6/recent/ticker-posts

RIZWADI, ISTERI SELESAI MENGUNDI

Oleh: Saliemin Khesa Ahmad

GUA MUSANG, 17 Ogos - Calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail telah selesai menjalankan amanah dan tanggungjawab sebagai seorang pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Tadika Sri Bakawali, Bertam Lama pagi tadi.

Mohd Rizwadi yang memakai kurta dan berkopiah tiba di pusat mengundi bersama isterinya, Che Mariam Che Noh kira-kira jam 8.40 pagi dan menyapa pengundi-pengundi lain sebelum terus mengundi kira-kira 6 minit kemudian.

"Alhamdulillah, saya dan isteri sudah selesai mengundi di Bertam Lama yang merupakan kampung asal dan tempat tinggal kami.

"Saya menyeru kepada pengundi-pengundi terutama di Nenggiri ini supaya keluar jalankan amanah demi kebaikan kita bersama," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat mengundi di Bertama Lama pada Sabtu.

Tambahnya, pihaknya berhasrat membawa semangat dan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN-15) yang lalu pada PRK DUN Nenggiri ini.

Jelasnya, sepanjang beliau berada di pusat mengundi, beliau menerima maklum balas yang sangat baik daripada pengundi-pengundi di Nenggiri.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani turut hadir lebih awal mengundi di tempat yang sama sebelum kedua-duanya bertegur sapa.

Menurut Rizwadi, ini merupakan kali pertama beliau bertemu dengan calon BN itu yang juga sahabat baiknya sepanjang tempoh berkempen.

Untuk rekod, setakat jam 10.00 pagi ini, peratusan pengundi keluar mengundi pada PRK DUN Nenggiri dicatatkan sebanyak 25.66 peratus.



Post a Comment

0 Comments