Ticker

6/recent/ticker-posts

Petugas kempen PN dominasi suasana kempen

GUA MUSANG: Perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Nenggiri berjalan lancar biar pun ada beberapa tempat membuang undi agak hangat dengan kehadiran ramai penyokong kedua-dua parti.

Antara yang rancak berbalas-balas laungan di Bertam Baru berhampiran tempat mengundi di Sekolah Kebangsaan Bertam Baru.

Bagaimanapun jumlah penyokong PAS dan Perikatan Nasional (PN) jauh lebih ramai terutamanya dengan kehadiran anak muda dan petugas dari luar Gua Musang bagi merancakkan aktiviti kempen.

Turut kelihatan di lokasi terbabit Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan Wan Roslan Wan Hamat, ahli jawatankuasa Dewan Ulamak PAS negeri Dato’ Mohamad Awang, Timbalan Yang Dipertua PAS Gua Musang Mohd Saupi Abdul Razak serta petugas PAS dari Kedah.

Situasi itu jauh berbeza dengan Pusat Mengundi di Tadika Sri Bakawali di Bertam Lama, memandangkan lokasi itu tidak banyak rumah penduduk.

Namun di Bertam Baru, rumah penduduk lebih padat, di mana kehadiran ramai petugas kempen dari luar menyebabkan keadaan laluan ke tempat mengundi agak sesak.

Anak-anak muda dan petugas kempen melaung perkataan calon nombor satu apabila ada penduduk yang melalui lokasi tersebut untuk ke tempat mengundi.

Petugas kempen Umno hanya kelihatan beberapa orang di mana sebahagian mereka merupakan golongan veteran.

Mohd Saupi berkata, pada sebelah pagi agak kurang rancak penduduk keluar mengundi memandangkan suasana masih sejuk disebabkan hujan lebat malam tadi.

“Anak beranak saya dan ramai kenalan keluar mengundi sejak awal lagi. Insya-Allah berdasar perkembangan sehingga tengah hari ini ramai penyokong PAS sudah mengundi,” katanya ketika ditemui.

Rumah Mohd Saupi terletak di kampung tersebut tidak jauh dari pusat mengundi terbabit.

Menurutnya juga beliau beberapa hari berada di penempatan Orang Asli termasuk semalam di Pos Pulat bagi memantau gerak kerja kempen petugas PAS dan PN yang berada di lokasi terbabit.

Katanya beliau juga bertembung dengan rombongan Presiden Umno Dato’ Seri Ahmad Zahid yang juga datang ke penempatan Orang Asli di Pos Pulat semalam.

Beliau juga berkata, berdasar situasi semasa yang berlaku masyarakat Orang Asli tidak lagi didominasi Umno seperti sebelum ini.

“Situasi itu memaksa Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri terpaksa masuk ke penempatan Orang Asli beberapa kali sepanjang kempen PRK berlangsung,” ujarnya.


Post a Comment

0 Comments