KOTA BHARU: Bekas calon Perikatan Nasional (PN) PRK DUN Nenggiri Mohd Rizwadi Ismail dilantik sebagai Penyelia Dun kawasan terbabit.
Anggota Exco Kerajaan Negeri Wan Roslan Wan Hamat berkata, pelantikan itu bagi memudahkan urusan rakyat berkaitan dengan kerajaan negeri.
Katanya pelantikan tersebut dibuat susulan nama Rizwadi dikemukakan Pengerusi Bersatu Kelantan Dato’ Kamarudin Md Nor untuk dipertimbangkan kerajaan negeri.
“PN Kelantan bersetuju melantik bekas calon PRK Nenggiri sebagai Penyelia DUN Nenggiri.
“Pelantikan itu dibuat bagi memudahkan urusan rakyat di DUN terbabit terutamanya berkaitan penyelesaian pemilikan tanah rakyat dan program-program di bawah kerajaan negeri,” katanya di sini.
Lagi pun kata beliau sebelum PRK lagi Rizwadi banyak membantu rakyat termasuk penduduk setinggan yang terbabit dengan projek jalan baharu di Bertam Lama.
Pada PRK 17 Ogos lepas Rizwadi gagal mempertahankan Dun terbabit selepas dimenangi Mohd Azizi Abu Naim pada Pilihan Raya Negeri 12 Ogos 2023.
Umno kembali menguasai DUN terbabit melalui Mohd Azmawi Fitri Abdul Ghani. Dengan kemenangan itu Umno menguasai dua DUN di parlimen Gua Musang termasuk Galas.
0 Comments