Ticker

6/recent/ticker-posts

Penduduk naik kereta api jual lada, serai di pasar

 


GUA MUSANG: Kampung Bertam Lama antara perkampungan lama yang terdapat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Kampung tersebut hanya dipisahkan Sungai Betis dengan Bertam Baru. Kampung-kampung lain yang berada di sekitarnya Limau Kasturi, Pasir Tumboh, Kuala Sungai dan Jelekang.

 Bertam Baru menjadi tempat tumpuan penduduk kerana terdapat Klinik Kesihatan, Balai Polis, Pusat Sebaran Maklumat Nasional Bertam, Sekolah Rendah Kebangsaan Bertam, Sekolah Pendidikan Khas dan Kompleks Penggawa.

 Manakala di Kampung Jerek pula terdapat sekolah menengah, sekolah rendah, PASTI dan Tadika Kemas. 

Kawasan perkampungan di DUN Nenggiri begitu luas sehingga boleh dilakukan solat jamak dan qasar biar pun bergerak dalam Dun yang sama.

Antara lokasi yang menjadi tumpuan ramai termasuk pemimpin Perikatan Nasional (PN) ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri baru-baru ini rumah mertua calon PN Rizwadi Ismail di Kampung Bertam Lama.

Kampung tersebut terletak di laluan dari Limau Kasturi ke Jerek. Ia menjadi penghubung antara jalan raya Kuala Krai-Gua Musang dengan jalan Gua Musang-Jeli.

Kampung Bertam Lama dibuka sebelum negara mencapai kemerdekaan. Datuk kepada mertua Rizwadi, Che Noh Che Senik, 80 datang ke kampung tersebut dari Wakaf Bharu, Tumpat.


Che Noh berkata, datuknya Haji Yaakub datang ke Bertam Lama dengan menaiki kereta api dari Wakaf Bharu.

“Datuk saya lagi datang ke sini dengan membuka tanah kebun. Ketika itu kawasan ini merupakan hutan belantara.

“Turun kereta api di Stesen Bertam Lama berjalan kaki dalam hutan untuk sampai ke kebun yang diteroka datuk saya.

“Jalan tersebut digunakan kerbau bagi menarik balak yang ditebang. Kita melalui jalan tersebut untuk sampai ke pondok yang dibina dalam hutan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya ketika itu kehidupan keluarganya begitu susah kerana getah dan durian yang ditanam belum lagi mengeluarkan hasil.

Kata beliau datuk dan ayahnya menanam pokok lada, serai, pisang dan betik sebagai tanaman jangka pendek bagi menampung keperluan harian.

“Lada, serai, pisang dan betik dikutip seminggu sekali untuk dijual di Pasar Wakaf Bharu. Kami menaiki kereta api membawa hasil pertanian.

“Hasil jualan tersebut digunakan untuk membeli beras dan keperluan lain untuk dibawa pulang ke Bertam Lama,” ujarnya.

Ketika itu hanya kereta api menjadi perhubungan utama. Selain itu Sungai Betis untuk mudek sehingga ke Kuala Krai. 


Namun, sekarang semuanya sudah berubah. Jalan raya dibina kerajaan menghubungkan Bertam Lama dengan Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai sejak berpuluh tahun lepas.

Post a Comment

0 Comments