Ticker

6/recent/ticker-posts

IMPAK DPRK: INOVASI PELAJAR YIK DIIKTIRAF

Oleh: Norzana Razaly

Pembangunan Modal Insan
Kerajaan Negeri Kelantan komited melaksanakan pembangunan dan pendidikan insan sebagai agenda utama.

Untuk itu, Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) dilancarkan pada 25 Februari 2018.

Pelaksanaan DPRK di sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) ialah untuk mencapai aspirasi pembangunan masyarakat melalui sistem pendidikan yang menyeluruh ke arah kemenjadian insan mulia yang faqih, realistik dan bertanggungjawab.

Sejak tahun 1992 ditubuhkan, kluster pertama dua al-hafiz lulusan Maahad Tahfiz Al-Quran Pulai Chondong mulai tamat pengajian pada tahun 1998. 

Sehingga tahun 2023, Kelantan telah melahirkan 5,122 huffaz al-Quran melalui 12 maahad tahfiz dengan pelbagai aliran yang mengintegrasikan aliran tahfiz dengan kurikulum arab/agama, sains dan kemahiran.


Sertai pertandingan robotik
Gabungan kefahaman mendalam dalam ilmu diniah bersama ilmu sains dan teknologi membolehkan pelajar YIK menyahut cabaran masa hadapan dengan lebih efektif sambil mengekalkan nilai-nilai murni yang menjadi teras kepada pembangunan insan.

Pada Disember 2023, tujuh sekolah YIK menyertai National Robothon Challenge 2023 (NROC) di Institut Pendidikan Guru Temenggong Ibrahim, Johor.

Mereka berjaya mencapai peringkat kepujian (distinction) dan cemerlang (excellence) dalam kategori Terbuka Veteran.

Lebih membanggakan, pada 24 Jun 2024, 29 sekolah YIK menyertai Karnival Robotik & Inovasi Negeri Kelantan 2024 (K-RINK 2024) bagi meningkatkan keupayaan pelajar dalam STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) dan teknologi maklumat.

Johan pertandingan robotik dimenangi oleh Aishah Humaira Mohammad Noor dan Asiah Hannah Mohd Haruzi dari Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, manakala naib johan disandang oleh Muhammad Rayyan Rosemady dan Aniq Harraz Mirza Ahmad Buhairi dari Maahad Raudhah An Nazirin.

Bagi kategori pertandingan inovasi pula, robot ciptaan Nik Nur Aisyatul Aliya Nik Jamaludin dan Najihah Norfaizul daripada Maahad Muhammadi Gua Musang dinobatkan sebagai johan, manakala hasil reka cipta pelajar Maahad Muhammadi Perempuan, Aini Salsabila Hamzah dan Maryam Fathonah Ahmad Mukhtar diiktiraf sebagai naib johan.


Diiktiraf antarabangsa

Kejayaan terus mengiringi pelajar YIK apabila Maahad Sains Tok Guru (MSTG) berjaya menonjolkan kepakaran mereka dalam bidang STEM melalui inovasi TnC Acne Serum yang diiktiraf menerima Anugerah Emas Inovasi Remaja Asia (Gold Award Asian Youth Innovation) dalam Malaysia Technology Expo (MTE) 2024 di Pusat Dagangan Putra Kuala Lumpur 24 Februari 2024.

Produk itu juga muncul johan Program STEM Pitching Fiesta Mini Teater STEM Kelantan 2024 di Dewan YIK Tunjong pada 29 Ogos 2024 dengan merangkul wang tunai RM700 dan sijil penghargaan dalam program yang melibatkan sepuluh sekolah YIK dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). 

Manakala produk E-TOK Organic Fertilizer ciptaan mereka pula meraih hadiah saguhati.

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato' Shaari Mat Hussain, mewakili Exco YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Dato’ Shaari menekankan pentingnya inisiatif seperti Mini Teater STEM Peringkat Negeri Kelantan dalam memupuk minat dan kefahaman pelajar dalam bidang STEM. Beliau menegaskan, penguasaan bidang ini penting untuk pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. 

Sementara Pengarah STEM Kebangsaan, Dato' Dr Noraini Idris pula mengakui Kelantan mempunyai potensi dalam penciptaan produk berteraskan al-Quran dan hadis. Beliau menyeru pembinaan hab STEM di sekolah-sekolah bagi memperkukuh pendidikan STEM.


Kejayaan bukti keberkesanan
Satu daripada sembilan prinsip DPRK ialah penekanan terhadap Pembelajaran dan Pengkajian Berterusan serta Pengaplikasian Ilmu Pengetahuan dan Teknologi.

Siri kejayaan di atas membuktikan keberkesanan DPRK sehingga pelajar YIK mampu memahami dan mengamalkan prinsip tersebut dengan baik. 

Kebolehan berinovasi mendedahkan mereka dengan pemikiran logik dan sistematik melalui ilmu penghasilan produk pengguna, bidang pengaturcaraan dan pembinaan robot melalui pengalaman ‘hands-on’ dan penyelidikan, di samping mengekalkan sesi pengajaran dan pembelajaran pada setiap hari dengan bacaan Al-Quran dan beramal soleh adalah impak positif DPRK.

Lantaran itu, Exco Pendidikan dan Inovasi, YB Wan Roslan Wan Hamat mencadangkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) membangunkan Ruang Daya Ciptaan (RDC) - sebuah Hab Reka Cipta Teknologi dan Inovasi yang menawarkan pembelajaran, latihan dan bantuan teknikal yang dilengkapi dengan peralatan dan aplikasi teknologi STIE seperti cetakan 3D dan robotik.

“Kerajaan Negeri Kelantan mengalu-alukan MOSTI menambah satu lagi RDC di Kelantan khususnya di Kota Bharu sebagai tambahan kepada 16 RDC di seluruh Malaysia termasuk satu di Kelantan iaitu di Dewan Komuniti Kampung Laut, Tumpat yang dibina pada tahun 2022," katanya.

Tambahan RDC akan memperkukuh inisiatif pembelajaran 50 modul Sains, Teknologi, Inovasi, dan Ekonomi (STIE) yang dijalankan oleh rakan akademik Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan UITM cawangan Kelantan, melibatkan 500 peserta dalam kalangan pelajar, belia, usahawan dan komuniti setempat.

Sementelahan, Program Rehlah Sains di sekolah tahfiz di Kelantan, Pahang dan Terengganu yang dilancarkan oleh MOSTI pada 8 Ogos bakal merancakkan lagi daya cipta pelajar YIK. Hal ini selaras dengan prinsip kelapan DPRK iaitu Bertepatan Realiti Semasa, Kecukupan Keperluan Fardu Kifayah dalam Kehidupan, Penggunaan Teknologi Terkini, Pengukuhan Amalan Pengajaran dan Pembelajaran Semasa serta Cakna Kepada Realiti Kehidupan.

Kesimpulannya, pencapaian inovasi pelajar YIK menunjukkan impak kejayaan DPRK yang memberikan peluang kepada pelajar YIK untuk menjadi saintis yang memiliki akhlak dan nilai-nilai murni, selaras dengan warisan intelektual ulama silam.

Tidak mustahil suatu hari nanti legasi al-Khawarizmi, al-Biruni atau Ibnu Firnas dilestarikan pelajar YIK.



Post a Comment

0 Comments