Oleh: Zaki Mustafa
KOTA BHARU, 9 September - PAS Kelantan menyokong penuh cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Kenyataan itu dipetik di media sosial Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan, YB Mohd Asri Mat Daud bertarikh 7 September 2024.
Mohd Asri yang juga merupakan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan memuatnaik kenyataan sokongan itu rentetan kenyataan Ahli Parlimen Seputeh dari DAP yang dilihat mencampuri urusan dan bidang kuasa jabatan agama Islam.
“Cadangan yang dibuat JAKIM adalah sesuai dan tepat pada masanya, lebih-lebih lagi kita berhadapan dengan pengusaha-pengusaha restoran dan syarikat pengeluar bahan proses mentah yang semakin bermudah-mudah tentang status halal sesuatu makanan atau bahan masakan.
“Tidak timbul soal pensijilan halal akan menambah beban peniaga apalagi memalukan negara,” tegas Mohd Asri dalam kenyataan tersebut.
Tambah beliau, campur tangan dan komen berbaur negatif pimpinan dari DAP itu adalah sangat tidak bertanggungjawab dan mendukacitakan. Meskipun mengkritik dari sudut ekonomi, namun hal berkaitan pengawalan status halal di restoran dan pengeluar bahan makanan syarikat di bawah bidang kuasa JAKIM dan jabatan agama Islam negeri-negeri.
0 Comments