Oleh : Asri Hamat
KOTA BHARU, 6 September- Kutipan pingat Kontinjen Kelantan di Sukan Malaysia (SUKMA) ke 21 di Sarawak pada tahun ini secara keseluruhanya meningkat.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhammad berkata, pungutan pingat secara keseluruhannya adalah 37 berbanding 21 pada tahun 2021.
"Pada tahun ini, Kontinjen Kelantan berjaya memungut tujuh pingat emas, 13 pingat perak dan 17 pingat gangsa berbanding tiga emas, lapan perak dan 10 gangsa pada tahun 2022. Namun kedudukan Kelantan masih pada tahap yang tidak memuaskan."
Beliau berkata demikian menerusi media sosial miliknya selepas mempengerusikan mesyuarat pasca nilai SUKMA 2024 di bilik mesyuarat Majlis Sukan Negeri (MSN) di Telipot Kota Bharu, pada Khamis.
Menurut YB Zamakhshari, beberapa keputusan telah diambil dalam mesyuarat tersebut dalam usaha untuk mengembalikan kegemilangan dan pembangunan sukan di Kelantan.
"Dalam mesyuarat tersebut beberapa keputusan telah diambil untuk membangunkan sukan di Kelantan iaitu pemerkasaan dan penyusunan semula organisasi MSN, menyusun semula barisan kejurulatihan, menyusun program pencarian dan pembangunan bakat baharu, penjenamaan semula Sukan Kelantan (SUKEL) dan penambahbaikan kebajikan atlet negeri," jelasnya.
Selain itu, pihaknya juga akan membuat permohonan penambahan peruntukan tahunan untuk MSN daripada kerajaan negeri secara berperingkat.
YB Zamakhshari yang juga Pengerusi MSN Negeri Kelantan mengalu-alukan sebarang cadangan, pandangan dan maklum balas orang ramai dalam usaha memaju dan membangunkan sukan di Negeri Kelantan.
"Jika ada sebarang cadangan, pandangan serta maklum balas untuk penambahbaikan dan pembangunan sukan di Negeri Kelantan bolehlah sampaikan kepada saya melalui e-mel zamakhshari@kelantan.gov.my", ujarnya.
Untuk rekod, pada SUKMA 2024, Kelantan telah menyertai 31 jenis sukan berbanding 26 jenis sukan pada SUKMA 2022.
Daripada jumlah itu sebanyak 17 jenis sukan mendapat pingat manakala pada tahun 2022, sebanyak 12 jenis sukan yang mendapat pingat.
0 Comments