Nasi Kerabu Pucuk Ppite: Dari loji gas Petronas ke warung kampung


Oleh: Norzana Razaly

TUMPAT, 28 Ogos – Dari kesibukan loji penapisan minyak dan gas, kini ke dapur warung kampung. Itulah perjalanan hidup penuh pengorbanan Nor Azimah Mohamad, 42, mantan jurutera kimia yang meninggalkan kerjaya bergaji besar demi keluarga serta untuk mengangkat kembali martabat warisan nasi kerabu tradisi Kelantan.

Berbekalkan ijazah Kejuruteraan Kimia dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, ibu kepada empat cahaya mata ini pernah menabur bakti lebih 15 tahun dalam industri minyak dan gas negara Malaysia iaitu 11 tahun di Petronas Penapisan Terengganu Sdn. Bhd., empat tahun di Pengerang Refining Company Sdn Bhd and Pengerang Petrochemical Sdn Bhdt (PRefChem) serta setahun di Petronas Carigali Kerteh Sdn. Bhd.

Namun, pada Julai 2022, beliau membuat keputusan nekad pulang ke kampung halaman demi menjaga anak yang sakit.

“Saya terpaksa berhenti kerja sebab anak sakit. Masa COVID-19 pula, makin sukar nak uruskan anak kerana berkerja dari rumah dan jauh dari keluarga. Semua keluarga di Kelantan, sedangkan saya di luar negeri. Akhirnya saya pilih keluarga dan kampung halaman,” katanya, berkongsi kisah yang jarang terungkap.


Bermula Februari 2023, lahirlah Kak Zimah’s Kitchen, sebuah warung kecil yang membawa misi besar. Di sinilah beliau memperkenalkan semula Nasi Kerabu Pucuk Ppite, hidangan warisan masyarakat Melayu lama yang kini hampir lenyap daripada meja makan rakyat Kelantan.

Jika di kebanyakan kedai, nasi kerabu dihidangkan bersama kobis dan karot, warung Kak Zimah mengekalkan resipi asli dengan pucuk samok, daun kesum, kacang panjang, pucuk serai kayu, bunga kantan, timun batang dan pewarna ungu semula jadi daripada pucuk daun Sitam atau dialek Kelantan menyebutnya bersabdu "ppite".

“Pucuk Ppite memang sukar didapati kerana tumbuh di hutan. Sebab itu saya dan suami berusaha menanam semula, agar tradisi ini tidak hilang ditelan zaman,” jelasnya.


Keaslian itulah yang menjadikan warung ini sentiasa tular sehingga dikunjungi selebriti Mustafa Kamal dan pempengaruh tempatan dan luar negeri.

Dengan 20 pekerja, Kak Zimah’s Kitchen menerima lebih 3,000 pengunjung sehari, mencatat purata jualan RM8,000.

Permintaan itu juga membuka peluang rezeki untuk penduduk kampung yang membekalkan bahan segar setiap hari termasuk lapan kilogram pucuk samok, 35 kilogram timun dan 100 batang bunga kantan.

Salah seorang pelanggan, mantan Pengarang Utusan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain, 65, turut mengakui keunikan hidangan tersebut ketika singgah baru-baru ini.


“Pertama kali saya dengar pucuk samok dan daun ppite. Rasanya memang lain daripada biasa sebab saya difahamkan taukeh kedai merendam nasi selama empat jam di dalam air perahan pucuk ppite dan daun kemudu untuk menghasilkan warna ungu. Sebagai orang luar Kelantan (asal Perlis), saya rasa ini nasi kerabu yang sebenar, bukan versi ringkas dengan kobis dan lobak merah sebagai ulam,” katanya, mengangkat nilai kejujuran tradisi yang dibawa Kak Zimah.

Selain Nasi Kerabu Pucuk Ppite, warung ini turut menyajikan pelbagai menu kampung lain seperti nasi sup air asam, mi celup, nasi lemak sambal goreng serta nasi belauk yang menjadikannya pusat kulinari desa yang mengikat rasa dengan nostalgia.

Hari ini, Kak Zimah’s Kitchen bukan sekadar warung makanan. Ia menjadi simbol kekuatan seorang wanita yang berani meninggalkan kerjaya profesional demi keluarga, sambil memastikan warisan nenek moyang terus berakar dalam kehidupan generasi akan datang.

Tempahan pakej makanan pagi dan tengah hari boleh dibuat melalui talian 017-7141072 dari pukul 8 pagi hingga 4 petang, atau terus ke lokasi warung di belakang Perpustakaan Desa Kampung Telaga Bata, Tumpat.

#festivalcitarasa@pantaitimur2025


Post a Comment

0 Comments