Ticker

6/recent/ticker-posts

INFRASTRUKTUR KUALA KOH KE TAMAN NEGARA DIRANCANG DINAIK TARAF – EXCO PELANCONGAN

Oleh: Norzana Razaly

KUALA LUMPUR, 8 September - Satu perancangan untuk menaik taraf dan membangunkan Kuala Koh dengan infrastruktur yang sesuai setanding dengan Kuala Tahan kini sedang dirancang. 

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, penambahbaikan itu dijangka mengambil masa tiga tahun untuk masuk ke Taman Negara melalui Kuala Koh beroperasi sepenuhnya.

“Hasrat Kerajaan Negeri Kelantan untuk menjadikan laluan alternatif ke Taman Negara dari Kota Bharu atau Cameron Highlands ke Gua Musang terus ke Taman Negara melalui pintu masuk Kuala Koh,” katanya selepas merasmikan reruai pameran agensi pelancongan Negeri Kelantan sempena program MATTA Fair.

Program anjuran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) itu berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur bermula 6 hingga 8 September melibatkan penyertaan sepuluh reruai delegasi Kelantan 2024.

Menurutnya, Taman Negara semakin popular bukan sahaja dalam kalangan pelancong luar negara tetapi juga kepada pengunjung domestik. 

“Pintu masuk yang agak lengkap dengan kemudahan asas untuk pelawat ialah melalui Kuala Tahan, Temerloh, Pahang, manakala satu lagi laluan masuk ialah melalui Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan. 

"Kuala Koh tiada kemudahan yang setanding dengan Kuala Tahan. Oleh itu ramai pelancong atau pengunjung dari Kuala Lumpur mengambil jalan ke Temerloh untuk ke Kuala Tahan seterusnya ke Taman Negara,” jelasnya.

Taman Negara Kuala Koh terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Hantu dan Hutan Simpan Lebir, 96 kilometer dari bandar Gua Musang.

Ia mudah dihubungi oleh pengunjung dan pelancong melalui jalan raya khususnya Jalan Gua Musang-Kuala Krai. 

Taman Negara Kuala Koh memiliki aset alamiah yang kaya dengan kepelbagaian kehidupan flora dan fauna serta ekosistem hutan hujan tropika.

Oleh itu, ia amat sesuai bagi aktiviti ekopelancongan selain bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan. 

Antara aktiviti yang dianjurkan oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara ialah pemerhatian melebihi 300 spesies burung, memancing di rangkaian sungai, sesi fotografi, meredah hutan melalui rentis interpretif, berkayak atau berakit, menaiki titian kanopi dan perkhemahan.

Bagi keselesaan pengunjung dan pelancong, antara kemudahan sedia ada yang disediakan di Taman Negara Kuala Koh termasuklah chalet dan asrama, restoran, bilik mesyuarat, bilik interpretif, tapak perkhemahan, perkhidmatan bot, wakaf/pondok untuk istirehat, surau dan tempat letak kenderaan.

Post a Comment

0 Comments