Oleh: Che Maziah Mat
KOTA BHARU, 26 September - Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud berkata, pergolakan yang berlaku di negara Palestin kini bukan isu penduduk Arab mahupun isu rakyat Palestin itu sendiri tetapi ia adalah menjadi tanggungjawab bersama.
Jelasnya, adalah menjadi kewajipan bagi setiap dari kita berkorban membantu saudara kita di Palestin dengan apa jua cara sekalipun khususnya apabila melibatkan perihal kewangan dengan segala kemampuan yang ada.
“Isu yang dihadapi oleh rakyat Palestin adalah isu sejagat dan wajib ditangani serta dibantu oleh semua umat Islam di negeri ini, begitu juga dengan saudara kita yang berada di Rafah dan juga Gaza.
“Setiap dari kita sepatutnya bersedia untuk membantu mereka dari segi bantuan kewangan sebagai usaha untuk meringankan beban kehidupan mereka,”katanya pada Majlis Perasmian Daurah Antarabangsa Fiqh Syafie 2024 bertempat di Dewan Johor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) hari ini.
Malis Daurah Antarabangsa Fiqh Syafie disampaikan oleh Dekan Fakulti Fiqh Syafie The World Islamic Sciences and Education (WISE) Universiti Amman, Jordan, Profesor Madya Dr. Amjad Rashied Ali.
Mengulas berkaitan daurah fiqh Syafie, YB Mohd Asri yang juga Ahli Dewan Negeri Demit itu berkata, Imam Syafie sebenarnya adalah tokoh yang mengasaskan pengajian fiqh dan usaha ini telah diterjemahkan beliau dalam aktiviti menulis dan menyusun ilmu usul fiqh dan bukan hanya mengeluarkan fatwa sahaja.
“Jika kita perhatikan, mazhab as-Syafie sangat mengambil berat terhadap dalil syariat dan maslahat umum semasa, kerana itulah mazhab Syafie mampu mendepani zaman menghadapi perubahan tempat dan masa,”ulasnya.
0 Comments