KOTA BHARU: Demam pilihan raya di Melaka dan Johor kini bertambah kencang memandangkan tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-15 kedua-dua negeri terbabit semakin mengesot ke penghujung.
Mengambil kira perkembangan tersebut PAS dan Perikatan Nasional (PN) telah melancarkan jentera pilihan raya di Melaka dan Johor pada akhir April lepas.
Pelancaran
Jentera Pilihan Raya PAS Melaka diadakan di Dewan Muallim Abdul Wahid, Bukit
Katil pada 26 April lepas.
Begitu juga di
Johor pelancaran jentera pilihan raya PAS dan PN di Pusat Komuniti Pas Muar,
Parit Tarom baru-baru ini.
Malah, di Kelantan himpunan jentera pilihan raya mulai digerak sebagai persiapan awal menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15 tidak lama lagi. Parlimen ke-15 Malaysia dijadual berakhir pada 18 Disember 2027.
Jumaat lepas
Dewan Muslimat PAS Kota Bharu mengadakan himpunan jentera pilihan raya yang dihadiri
petugas dari Dun Kota Lama, Bunut Payong dan Tanjung Mas.
Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, persiapan menghadapi PRU16 perlu digerakkan mulai sekarang walaupun tarikh pilihan raya belum diketahui.
Katanya, terdapat ura-ura yang mengatakan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim mungkin akan membubarkan Parlimen Malaysia tahun ini.
“Boleh jadi juga pilihan raya Parlimen akan diadakan serentak dengan pilihan raya negeri walaupun beberapa negeri mempunyai tempoh penggal yang berbeza,” katanya pada program tersebut.
Turut hadir Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri, Dato’ Zailah Mohd Yusoff; Naib Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Shaari Mat Yaman; Ketua Dewan Muslimat kawasan, Dato’ Rohani Ibrahim dan Pengarah Pilihan Raya PAS Kota Bhharu, Dato’ Sr Zamri Ismail.
Takiyuddin juga berkata antara aspek penting yang perlu diberi perhatian iaitu mengukuhkan tenaga manusia dan kekuatan jentera yang perlu bergerak selaras dengan arahan pusat dan negeri.
Menurutnya juga kaedah dan strategi kempen perlu dirancang secara tersusun bagi memastikan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab serta memberikan sokongan kepada PAS dan PN.
Cabaran
Sementara itu
Siti Zailah berkata, perjuangan PAS sekarang jauh berbeza berbanding era awal
sebelum parti itu berjaya membentuk kerajaan di Kelantan pada Oktober 1990.
“Ketika itu perjuangan penuh dengan cabaran, tiada sumber kewangan dan tiada kemudahan seperti hari ini.
“Dahulu kita bergerak menemui pengundi dengan menaiki perahu, kereta api dan bas. Muslimat membawa bersama anak-anak kecil demi memastikan perjuangan parti dapat diteruskan.
“Semangat dan pengorbanan mereka perlu dijadikan inspirasi kepada seluruh jentera parti bagi menghadapi pilihan raya tidak lama lagi,” katanya.
Beliau turut mengingatkan petugas parti supaya memainkan peranan aktif memberi penerangan kepada rakyat berkaitan pelbagai isu semasa yang sedang berlaku sekarang.
Menurutnya banyak isu yang boleh dijelaskan kepada masyarakat termasuk peningkatan kos sara hidup ekoran peningkatan harga diesel.
“Kerajaan Madani semakin tenat apabila beberapa kementerian penting dipotong peruntukan termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Kementerian Kesihatan,” katanya.







0 Comments