Asnaf terharu Ride Salor hulur sumbangan


Oleh Salmah Mat Husain

KOTA BHARU: Program Ride Salor Prihatin Bantu Asnaf yang diketuai Adun Salor, Saizol Ismail agak menyentuh perasaan golongan terbabit.

Seramai enam keluarga golongan asnaf di Kampung Dewan Beta membabitkan Mukim Stan dan Mukim Beta Hulu disantuni anak-anak muda yang mengunjungi keluarga terbabit baru-baru ini.

Saizol berkata, program tersebut dianjurkan bagi memberi kesedaran kepada anak muda aktiviti ride bukan sekadar konvoi bermotosikal semata-mata.

Tambah beliau, sebaliknya boleh diisi dengan pelbagai aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.

“Antara aktiviti yang diketengahkan termasuk ziarah asnaf, gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran rumah serta membantu membaiki rumah penduduk yang agak usang,” ujarnya di sini.

Katanya, seramai enam penerima dipilih pada program berkenaan berdasarkan keperluan dan latar belakang keluarga. Mereka menerima sumbangan wang tunai serta barangan keperluan harian.

Kata beliau penglibatan anak muda dalam program seumpama itu mampu memupuk semangat sukarelawan dan nilai prihatin terhadap golongan yang memerlukan.

“Ride bukan sekadar hobi, tetapi platform untuk bantu masyarakat dan menyantuni golongan memerlukan. Insyallah program seperti ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.



Post a Comment

0 Comments