Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 22 September – Kerajaan Negeri Kelantan sedang melaksanakan pendekatan holistik yang menggabungkan penyelesaian spiritual dan kajian akademik bagi memastikan kesejahteraan rakyat dalam menghadapi cabaran sosial dan ekonomi pada masa hadapan.
Inisiatif tersebut dilaksanakan melalui kajian Future State Kelantan Sejahtera 2023-2033 dengan kerjasama penyelidik dari Universiti Teknologi Petronas.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud berkata, kajian berkenaan bertujuan mengkaji dan merangka strategi jangka panjang bagi menangani pelbagai masalah yang sedang dihadapi, termasuk gejala stres melampau yang berpotensi membawa kepada kes bunuh diri.
“Permasalahan stres yang melampau ini adalah isu yang sangat serius dan memerlukan tindakan segera oleh Kerajaan Negeri. Kajian Future State ini akan membantu kita mengenal pasti langkah-langkah terbaik untuk menangani isu ini dengan lebih berkesan,” katanya dalam Majlis Hubbun Nabi SAW Peringkat Negeri Kelantan 1446H/2024M di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Beliau juga menekankan bahawa penyelesaian kepada masalah sosial tidak boleh hanya berasaskan pendekatan fizikal dan ekonomi semata-mata, tetapi juga harus berpandukan nilai-nilai spiritual dan agama.
Mengambil inspirasi daripada sunah Rasulullah SAW, YB Mohd Asri menegaskan bahawa kebijaksanaan Baginda dalam menangani krisis ekonomi pada zamannya boleh dijadikan panduan dalam menghadapi cabaran ekonomi moden.
“Dalam satu kitab yang baik yang telah dikarang oleh Dr. Hafiz al-Karami, al-Idaratu Fi Asri Rasul, Nabi S.A.W memanggil sahabat-sahabatnya berbincang supaya membina suatu rangkaian ekonomi yang kukuh dalam kalangan umat Islam, kerana umat Islam tidak boleh berharap kepada ekonomi Yahudi, ekonomi Barat semata-mata.
“Ekonomi pada zaman Nabi S.A.W dimonopoli oleh orang-orang Yahudi. Banyaknya pasaraya yang dimonopoli oleh Yahudi seperti sofsofah, zamahim, nabit, qoinukak (mall) semuanya adalah milik Yahudi,” ujarnya.
Beliau berharap pendekatan gabungan antara penyelidikan akademik dan nilai-nilai agama itu mampu membawa Kelantan ke arah negeri yang lebih sejahtera dalam tempoh sepuluh tahun akan datang, di samping memperkasakan rakyat untuk menghadapi pelbagai cabaran, termasuk masalah sosial yang semakin meruncing.
Majlis sempena sambutan bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) itu dirasmikan oleh Menteri Besar YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.
Turut ditampilkan sesi tausiah oleh Penasihat Persatuan Guru-Guru Pondok Negeri Kelantan Tuan Guru Syeikh Wazir Che Awang yang menyeru hadirin menghayati pengajaran daripada mencintai diri Rasulullah SAW kemudian barulah sunah baginda dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
0 Comments