Ticker

6/recent/ticker-posts

“PAKAT TURUN STADIUM MALAWATI SOKONG KELANTAN WARRIORS,” PRESIDEN GASTAK

Oleh: Asri Hamat 

KOTA BHARU, 10 September- Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK) mengharapkan peminat sukan sepak takraw hadir ke Stadium Malawati untuk memberi sokongan padu kepada  pasukan Kelantan Warriors yang bertanding dalam saingan GP Selangor STL Premier League 2024 yang bermula pada 11 hingga 15 September ini.

Presidennya, YB Dato'  Abdul Fattah Mahmood berkata, dengan sokongan yang kuat daripada penyokong akan menaikkan semangat para pemain untuk mencapai kemenangan.

"Kita sedia maklum bahawa pasukan Kelantan Warriors baru sahaja naik ke Liga Premier dan ini memerlukan sokongan yang hebat daripada penyokong untuk menaikkan semangat dan moral para pemain.

"Oleh itu saya berharap warga Kelantan yang berada di luar Kelantan, khususnya yang berada di sekitar Shah Alam untuk hadir ke Stadium Malawati untuk memberi sokongan yang padu kepada pasukan Kelantan Warriors,” beliau berkata demikian dalam sidang media  di majlis makan malam Kerajaan Negeri Kelantan bersama pasukan sepak takraw Kelantan di sebuah hotel di sini pada Isnin.

YB Abdul Fattah juga mengharapkan sokongan wartawan bagi membangkitkan semangat para penyokong untuk hadir memberi sokongan kepada pasukan sepak takraw Kelantan Warriors di STL Premier League tahun ini.

"Kita juga mengharapkan sokongan daripada wartawan untuk mempromosi dan menyampaikan maklumat semasa mengenai pasukan Kelantan Warriors terutamanya tentang perlawanan yang membabitkan Kelantan Warriors dalam saingan STL liga premier pada tahun ini,” katanya.

Dalam majlis makan malam tersebut, para pemain pasukan sepak takraw Kelantan Warriors yang muncul sebagai juara STL Liga Divisyen Satu di Melaka baru-baru ini menerima insentif daripada Kerajaan Negeri Kelantan yang disampaikan oleh Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad.

Hadir sama Ahli Majlis GASTAK, YB Ustaz Azhar Saleh, pengurus pasukan, Wan Hasan Wan Ibrahim, pegawai pasukan, wakil penaja dan pemain.

Untuk rekod, pasukan Kelantan Warriors akan memulakan saingan GP Selangor STL Premier League 2024 dalam kumpulan A menentang Kuala Lumpur Thunders pada 11 September jam lapan malam dan akan  bertemu Bomba Fighters pada 13 September, jam 4.30 petang. Kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam.

Manakala perlawanan suku akhir dijadualkan pada pagi 14 September, separuh akhir sebelah petang, disusuli perlawanan tempat ketiga dan keempat. Perlawanan akhir dijadualkan pada malam 15 September. 

Pada saingan GP Selangor ini, pasukan Kelantan Warriors meletakkan sasaran untuk layak ke separuh akhir.





Post a Comment

0 Comments