Ticker

6/recent/ticker-posts

Pengundi luar bandar mudah ‘tergoda’ politik kebendaan

 


KOTA BHARU: Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri berbeza berbanding dengan PRK Sungai Bakap Pulau Pinang kerana penduduk luar bandar mudah ‘tergoda’ budaya politik bersifat kebendaan.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan Dr Wan Nik Wan Yussof berkata, pihaknya sudah menerima maklum balas awal berkaitan kekalahan calon Perikatan Nasional (PN) pada Dun Nenggiri 17 Ogos lepas.

Katanya, pengundi di pedalaman tahu kenaikan kos sara hidup disebabkan kegagalan pentadbiran kerajaan Pusat sekarang.

“Namun mereka perlu sesuatu bagi meneruskan kelangsungan hidup. Kalau ada pihak memberi sesuatu, pengundi lebih terpikat.

“Ini realiti di kawasan pedalaman, pengundi mengharap ada sesuatu ketika kempen. Budaya tersebut sering berlaku pada PRK kerana tumpuan pemimpin kerajaan Pusat tidak meluas seperti Pilihan Raya Umum (PRU),” ujarnya di sini.

Menurutnya juga PAS di Kelantan mempunyai sejarah tewas pada PRK dan menang kembali di kerusi Dun sama pada PRU. 

Kata beliau situasi itu berlaku PRK Semerak, Pengkalan Pasir dan Pengkalan Kubor di mana calon PAS tewas, namun menang semula ketika PRU.

Bagaimanapun katanya keadaan agak berbeza di Dun yang mempunyai cawangan PAS yang banyak kerana undi teras begitu kuat.

“Situasi itu berlaku pada PRK Manek Urai, Pulai Chondong dan Lundang di mana PAS mempunyai kekuatan akar umbi.

“Biar pun berlaku sogokan politik di kawasan terbabit namun pengundi teras PAS masih kuat,” tambahnya. 

Dr Wan Nik juga berkata, PRK Nenggiri begitu sengit kerana ia menjadi medan untuk memulihkan semula kepimpinan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelang Perhimpunan Agung Umno (PAU).

Katanya Umno melakukan apa sahaja bagi memastikan kubu mereka di Nenggiri dan Gua Musang dapat dikembalikan ke pangkuan parti tersebut.

“Situasi itu dapat dilihatkan apabila Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan kemenangan BN di Nenggiri memberi suntikan semangat kepada perwakilan di PAU.

“Kemenangan Umno di Nenggiri kerana parti itu tidak dinafikan mendapat bantuan jentera kerajaan terutamanya di bawah kementerian tertentu.

“Perkara itu bukan lagi rahsia kerana kehadiran jentera kerajaan Pusat dapat dapat dilihat dengan jelas sepanjang kempen pilihan raya berlangsung,” katanya. 


Pada PRK tersebut calon BN Mohd Azmawi Fikri menang dengan majoriti 3,352 undi menewaskan Mohd Rizwadi Ismail mewakili PN yang meraih 5,739 undi.

Post a Comment

0 Comments