KOTA BHARU: Lawatan Menteri Besar (MB) Dato' Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud ke Rumah Pam milik Lembaga Pengairan Kemubu (KADA) hari ini tanpa kelibat Pengerusi KADA.
Pengerusi KADA Muhammad Husin juga merupakan pemimpin Parti Amanah Kelantan.
Turut hadir pada lawatan itu Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan Timbalan Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Saizol Ismail.
Selain itu Persatuan Pesawah-pesawah Kelantan (Pesak) yang diketuai pengerusinya, Zuha Ismail.
Bagaimanapun Pengurus Besar KADA, Mohd Faizul Mustafa hadir dan menyampaikan taklimat kepada rombongan Menteri Besar.
Ustaz Mohd Nassuruddin berkata, kerajaan negeri sentiasa bekerjasama kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan masalah dihadapi pesawah di Kelantan.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk mempertingkatkan sektor itu.
Kata beliau usaha tersebut diterjemah melalui usaha sama agensi kerajaan Persekutuan termasuk KADA, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan IADA Kemasin Semerak.
"Kita bekerjasama erat dengan KPKM termasuk mengadakan perbincangan bagi memastikan kebajikan petani terjaga dan menyelesaikan masalah mereka.
"Isu berkaitan bekalan air pengairan diutamakan bagi memastikan keterjaminan makanan dalam negara sentiasa dipandang serius semua pihak," katanya selepas lawatan ke Rumah Pam Kemubu di sini hari ini.
Menteri Besar juga berkata, lawatan tersebut dilakukan selepas mendapat rungutan pesawah berkaitan masalah pengairan sawah akibat kemarau yang melanda beberapa bulan lalu.
Kata beliau terdapat tiga isu yang menjejaskan sistem pengairan sawah sehingga memberi kesan terhadap pengeluaran padi dan beras.
"Kita telah kenal pasti tiga masalah untuk diatasi iaitu musim kemarau, aras Sungai Kelantan rendah dan operasi pam KADA bagi membekalkan air ke sawah," katanya.
0 Comments