PASIR PUTIH, 11 Sept – Petani tempatan disaran menanam kelapa varieti San Ramon Golden Dwarf (SGG) kerana ia mempunyai kelebihan dari segi tempoh matang yang lebih singkat dan potensi keuntungan yang tinggi dalam industri pertanian negara.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail memaklumkan kelapa SGG merupakan spesies yang sangat sesuai untuk diusahakan kerana tempoh berbuahnya yang lebih cepat berbanding jenis kelapa lain.
“Pokok ini mula menghasilkan buah dalam tempoh tiga hingga empat tahun selepas ditanam.
"Saiz pokok yang rendah juga memudahkan proses penuaian serta penyelenggaraan,” katanya dalam Majlis Penyampaian Anak Benih Kelapa DUN Gaal 2024 yang diadakan di Pejabat DUN Gaal, pada Selasa.
Sebanyak 800 anak benih kelapa SGG diagihkan kepada 40 peserta program bagi membantu meningkatkan hasil pertanian dan memberikan manfaat besar kepada komuniti setempat.
Tambahnya, kelapa SGG terkenal kerana ketahanan tinggi terhadap beberapa jenis penyakit, sekali gus membantu mengurangkan kos penjagaan.
“Varieti ini juga menghasilkan buah yang banyak, dan air kelapanya yang manis menjadikannya sangat popular di pasaran,” jelasnya lagi.
Dengan potensi ekonomi yang besar, beliau yakin kelapa SGG dapat memberikan peluang baik kepada petani untuk meningkatkan produktiviti dan keuntungan para petani.
Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Gaal, YB Mohd Rodzi Jaafar, wakil Jabatan Pertanian Kelantan dan wakil Darulnaim Agro Management Industries Sdn. Bhd.
0 Comments