Ticker

6/recent/ticker-posts

PEMINDAHAN ZON BEBAS CUKAI RANTAU PANJANG MASIH DI PERINGKAT PERANCANGAN - EXCO PELANCONGAN

Oleh: Asri Hamat 

KOTA BHARU, 19 September- Pemindahan Zon Bebas Cukai Rantau Panjang ke lokasi lain yang lebih sesuai dan strategik masih di peringkat perancangan dan kajian oleh pihak Kerajaan Negeri Kelantan.

Exco Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, rancangan pemindahan tersebut disebabkan zon bebas cukai yang sedang beroperasi ketika ini berada di kawasan yang berhampiran dengan kediaman penduduk.

"Pihak kerajaan negeri sedang merancang untuk memindahkan zon bebas cukai ke satu lokasi lain yang lebih sesuai dan strategik, namun ia masih di peringkat perancangan dan kajian. Kita juga sedang meninjau lokasi yang sesuai untuk tujuan tersebut," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Pesta Tanglung Kelantan 2024.

YB Datuk Kamarudin yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN), Ayer Lanas sebelum itu telah  merasmikan sambutan Pesta Tanglung Kelantan 2024 di Kota Bharu pada Selasa.

Menurutnya, kemeriahan sambutan pesta tanglung dengan pelbagai acara persembahan kebudayaan Cina seperti tarian singa, nyanyian tradisional dan persembahan muzik Cina telah menonjolkan kekayaan warisan budaya di Kelantan.

"Pesta ini juga turut menjadi simbol perpaduan dan kerjasama erat antara masyarakat di negeri ini. Melalui acara kebudayaan seperti ini diharap mampu menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara untuk datang ke Kelantan," katanya.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bunut Payong, YB Shaari Mat Yaman, Ketua Penolong Setiausaha (Pelancongan) Mohd Zaki Ismail, Pengerusi Pusat Integrasi Antara Kaum Negeri Kelantan (PEKA) Lim Guan Seng dan Presiden Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan Dato' Qie Poh Chuan.



Post a Comment

0 Comments