Ticker

6/recent/ticker-posts

TAMAN EMAS MALAYSIA BERPONTENSI JADI SOUQ EMAS DUBAI

Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 19 September - Taman Emas Malaysia (TEM) di Tingkat 1, Bazar Tuan Padang, Kota Bharu dipilih sebagai hub emas Malaysia disebabkan permintaan emas di sini, melebihi 500 kilogram (kg) sebulan.

Faktor permintaan tersebut ialah hasil jualan dan pewarisan kemahiran pertukangan emas serta kerjaya dalam seni berkaitan emas yang tinggi.

Exco Pelancongan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata premis ala pasar emas Dubai yang pertama seumpamanya di Malaysia itu berperanan sebagai pusat atau hub peniaga-peniaga emas dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, oleh kerana  budaya dan kesedaran masyarakat terutamanya wanita Kelantan tentang emas adalah sangat tinggi, menjadikan lambakan usahawan emas bertumpu di Kelantan.

“Kelantan adalah negeri terbaik menjadi lokasi terbaik Taman Emas Malaysia kerana ia berpotensi menjadi Souq Emas atau seperti pasar emas tradisional di Dubai. Lebih 300 penjual runcit yang berdagang hampir sepenuhnya dalam barang kemas di souq Dubai,” katanya yang pernah ke sana pada 6 hingga 9 Mei lalu.

“Penjual runcit di sana termasuklah gedung telah mantap seperti Damas, ARY Jewellery, Prima Gold dan Joyalukkas Jewellery. Purata 10 tan emas wujud pada hampir setiap waktu di souq yang bersempadan dengan pasar ikan dan sayuran Dubai dan Deira Corniche.

“Jadi, Taman Emas Malaysia pun tidak mustahil menjadi souq emas seperti itu kerana budaya wanita Kelantan sukakan emas sejak turun-temurun,” jelasnya selepas mengunjungi TEM pada Selasa.

Tambahnya, di Kelantan juga masih ada tukang emas mahir yang mewarisi ilmu pertukangan daripada nenek moyang mereka dahulu. 

Beliau memuji syarikat Empayar Iman  Sdn Bhd atas inisiatif mewujudkan Taman Emas Malaysia yang pertama di Kelantan dan di Malaysia, yang dibuka secara rasmi pada 1 Julai 2024.

“Kita hargai usaha pemilik Empayar Iman, Zulkifli Idris yang memfokus untuk membangunkan industri emas Kelantan dan Malaysia bukan sahaja dari segi akademik dan kemahiran pertukangan, bahkan dari segi daya tarikan pusat pelancongan dari tempatan dan antarabangsa. 

“Insya Allah kita yakin Kelantan khususnya dan Malaysia amnya, bakal menjadi pusat pelancongan untuk membeli barangan kemas dengan harga paling berpatutan,” ujarnya.

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan YB Hilmi Abdullah berpuas hati dengan perancangan Empayar Iman rancak menjadualkan program pada Oktober hingga Disember depan untuk memperkenalkan TEM.

“Sebelum ini, pada pada 17 Julai, di sini sudah pun dianjurkan program Hari Terbuka Akademi Emas Malaysia dan Seminar Pengurusan Zakat Emas oleh pihak Empayar Iman. 

Kita juga gembira melihat bas-bas pelancongan pun sudah mula kelihatan di sekitar bazar. Ini petanda aliran ekonomi yang cukup baik,” katanya yang turut mengunjungi premis tersebut bersama Exco Komoditi YB Tuan Saripudin Tuan Ismail dan Pengarah Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan (TIC) Mohd Zaki Ismail.

Menurutnya, bazar emas yang menyediakan 22 lot itu baru sahaja siap proses renovasi dan baru dua bulan beroperasi. 

“Semua lot dlengkapi segala fasiliti terkini sesuai untuk jualan emas. Turut disediakan ruang khas untuk mesyuarat, kafetaria dan bilik permainan kanak-kanak. Terdapat juga bilik pertukangan emas,  galeri sejarah dan pameran perhiasan emas raja-raja  serta gaya pemakaian emas masyarakat dahulu kala,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan TEM juga bakal menawarkan kelas dan kursus Akademi Emas Malaysia yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran: Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dengan kerjasama Jabatan Tabung Pembangunan Kemahiran (TPK) kepada generasi belia untuk belajar pertukangan seni halus emas ini dan bakal menawarkan peluang kerjaya dalam bidang ketukangan dan jual beli emas serta sebagai usahawan dalam industri emas.

Oleh itu, beliau mengalu-alukan semua pengunjung untuk singgah melihat produk jualan dan mendapatkan informasi lanjut berkaitan perkhidmatan premis di Tingkat 1, Bazar Tuan Padang Jalan Dato’ Pati, berhadapan Muzium Kota Bharu. Petunjuk arahnya https://maps.app.goo.gl/4CjkMFb4HVYHMQpa8

Waktu operasi TEM ialah pada Sabtu hingga Khamis  bermula pukul 10 pagi hingga 6.00 petang.



Post a Comment

0 Comments