Ticker

6/recent/ticker-posts

21 Oktober genap 34 tahun ulama terajui Kelantan



Oleh ARUS LEBIR 

UMNO masih bernasib baik perpecahan dalaman akibat perebutan jawatan presiden pada 1987, parti itu masih lagi berupaya menguasai kerajaan pusat.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 21 Oktober 1990, Barisan Nasional (BN) menang di 127 daripada 180 kerusi di Dewan Rakyat.


Undi diraih BN sebanyak 70.6 peratus daripada jumlah kerusi. Namun, pencapaian BN menurun sebanyak 2.4 peratus berbanding pilihan raya sebelum itu.

Namun perpecahan Umno membolehkan Kelantan kembali ke pangkuan PAS pada PRU tersebut. Tengku Razaleigh Hamzah mengasaskan Parti Melayu Semangat 46 selepas gagal mengalahkan Dr Mahathir Mohamad pada Perhimpunan Agung Umno 1987.

Dr Mahathir pula mewujudkan Umno Baru. Semangat 46 bekerjasama dengan  PAS bagi membentuk Angkatan Perpaduan Ummah. Dan di Sabah pula Semangat 46 bekerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS). Kerjasama itu atas nama Gagasan Rakyat. 

Pembangkang ketika itu meraih 46.6 peratus daripada jumlah undi dan memenangi 53 kerusi di Dewan Rakyat.

Selepas 12 tahun BN menerajui Kelantan, parti itu total ditolak rakyat Kelantan pada PRU 1990. Angkatan Perpaduan Ummah turut disertai BERJASA dan HAMIM menghadapi PRU 1990.

Akhirnya pada 21 Oktober 1990 Angkatan berjaya mengalahkan BN di kesemua 39 kerusi Dun dan 13 kerusi Parlimen. BN dan Umno langsung tiada sebarang kerusi di peringkat Dun dan parlimen di Kelantan.  

Kejayaan pada 1990, bermakna PAS mentadbir Kelantan meliputi dua era. Era pertama pada tahun 1959 sehingga 1978. PAS berupaya menguasai Kelantan ketika itu biar pun baru bertapak di negeri tersebut.

Banyak kajian menyebut kewujudan pusat-pusat pengajian agama tradisional memudahkan PAS bertapak di Kelantan. 

Ia dibuktikan dengan gelaran Serambi Mekah, Tanah Serendah Sekebun Bunga dan Negeri Tadahan Wahyu sebagai menggambarkan rakyat Kelantan kuat beragama. 

Pengaruh PAS yang semakin berakar umbi menyebabkan Umno dan BN sukar menguasai Kelantan pada setiap PRU yang diadakan selepas 1959. 

Pada PRU 1964 dan 1969 PAS terus mendominasi Kelantan. Bagaimanapun pemimpin Umno Tun Abdul Razak Hussin menggunakan peluang darurat pada 1969 untuk menyatukan parti-parti politik di negara ini.

PAS tumbang di Kelantan

Pada 1972 PAS menyertai Kerajaan Perikatan dan kemudian ditukar nama kepada Barisan Nasional pada 1973. Hasil kesepakatan itu membolehkan Umno membentuk kerajaan bersama PAS di Kelantan.

Namun, Umno menggunakan peluang berada dalam kerajaan memecahkan PAS dari dalam. Parti itu berjaya memperalatkan Mohamad Nasir sebagai sekupu politik. Ekoran itu PAS membuat usul memecat Mohamad Nasir sehingga tercetus darurat pada tahun 1977. 

Kemelut politik dalaman PAS menyebabkan lahir parti BERJASA dan HAMIM. Dan pada PRU 1978, BERJASA membantu BN menumbangkan PAS di Kelantan. 

Kekalahan pada PRU tersebut menyebabkan PAS menyusun semula strategi terutamanya memperkemaskan aspek tarbiah. Bermula dari situ muncul siri kuliah agama diadakan di setiap jajahan.


Kerajaan PAS 2.0


Dan kemenangan Angkatan pada 21 Oktober 1990 membolehkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dilantik sebagai Menteri Besar. Pertama kali dalam sejarah negara seorang ulama dilantik sebagai ketua kerajaan negeri. 

Biar pun sebelum itu ada pemimpin lulusan bidang agama menerajui kerajaan Terengganu iaitu Wan Mokhtar Ahmad, namun acuan pentadbiran lebih berteras kepada sekular.

Elemen pertama dicetus Tok Guru Nik Abdul Aziz merangka dasar pentadbiran kerajaan negeri dengan slogan Membangun Bersama Islam (MBI). Bermula dari situ dasar-dasar kerajaan negeri dipastikan tidak bercanggah dengan syariah.

Antara usaha awal yang dilakukan Tok Guru Nik Abdul Aziz memindahkan akaun tetap kerajaan negeri daripada bank konvensional kepada Bank Islam. 

Selain itu merintis cuti bersalin 40 hari, cuti mingguan penjawat awam negeri dua hari seminggu, mewujudkan pajak gadai Islam (Ar Rahn) dan Pusat Perubatan An Nisa.

Pada 1992 kerajaan negeri mewujudkan Mahaad Tahfiz al Quran Wal Qiraat di Pulai Chondong. Selain itu menubuh Mahaad Tahfiz Sains. Sehingga 2022 terdapat 10 maahad tahfiz yang diurus di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Manakala dalam bidang pendidikan tinggi kerajaan Kelantan mewujudkan Maahad ad Dakwah Wal Imamah pada 1 Jun 1994. Dan pada 1 Ogos 1999 maahad tersebut dinaik taraf kepada Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

Sejarah penting tercatat di Kelantan pada 1993 apabila Dun Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II dengan sokongan semua Adun. 


Agenda kebajikan

Kerajaan PAS meneruskan agenda kebajikan dengan memperkenalkan pelbagai program berkebajikan untuk manfaat rakyat.   

Antaranya Skim Kifaalah yang dilaksanakan bermula Februari 2007. Skim tersebut membayar pampasan kepada warga emas yang meninggal sebanyak RM1,000. Sehingga Disember 2022 seramai 57,712 warga emas yang meninggal dunia menerima pampasan berjumlah RM94 juta. 

Selain itu Program Pembangunan Ladang Rakyat diperkenal bermula pada Julai 2006. Setiap peserta yang dipilih menerima dividen sebanyak RM200 sebulan. Sehingga November 2022 sebanyak RM168.9 juta dibayar kepada 4,706 peserta. 

Program Rumah Dhuafat dilaksana bermula pada tahun 2009. Setiap rumah yang dibina melibatkan kos lebih RM50,000. Bermula 2009 sehingga Ogos 2022 sebanyak 1,280 unit rumah baharu dibina melibatkan kos RM51.797 juta.

Skim Beras al Itaam mulai diperkenal pada 2011. Setiap keluarga miskin menerima beras 10 kg sebulan. Dan bermula tahun 2021 seramai 300 penduduk miskin setiap Dun menerima bantuan tersebut.  

Skim Gerbang Az Ziwaaj juga diperkenal pada 2011 dengan memberi sumbangan sebanyak RM1,000 kepada pasangan pengantin keluarga miskin yang mendirikan rumah tangga. Sehingga Mac 2023 sebanyak RM26.98 juta disumbang kepada 26,488 pasangan pengantin.

Selain itu banyak lagi program berkebajikan lain yang dilaksanakan kerajaan Kelantan. Program itu diteruskan pengganti Tok Guru Nik Abdul iaitu Ustaz Ahmad Yakob dan Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.



Pada awal pentadbiran Ustaz Ahmad diwujudkan Institut Pemikiran Tok Guru Bentara Setia (IPTG). Agensi itu berperanan mengumpul agenda perubahan yang dirintis arwah Tok Guru. 

Agenda serupa diteruskan Ustaz Mohd Nassuruddin dengan melaksanakan perancangan yang dibuat era sebelum ini. Malah, selepas Pilihan Raya Negeri pada 8 Ogos 2023 kerajaan negeri meningkatkan lagi hubungan dengan kerajaan pusat di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.



Dasar kerajaan negeri


Di bawah dasar MBI sejak Oktober 1990 sehingga sekarang kerajaan Kelantan meluluskan 18 dasar berkaitan urus tadbir kerajaan negeri. 

Pada 15 tahun pertama diwujudkan sebanyak tujuh dasar iaitu Dasar Membangun Bersama Islam, Dasar Pertanian Negeri Kelantan, Dasar Pelancongan Negeri Kelantan, Dasar Pendidikan Negeri Kelantan, Dasar Wanita Negeri Kelantan, Dasar Belia Negeri Kelantan (Dasar Anak Muda) dan Dasar Gejala Sosial Negeri Kelantan.

Dan bermula pada tahun 2006 diperkenalkan lagi 11 dasar iaitu Dasar Keluarga Mawaddah, Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan, Dasar Perpaduan Kaum, Dasar Kanak-Kanak Fikrah, Dasar Penempatan Mesra Keluarga.

Selain itu Dasar Berkebajikan dan Kesejahteraan Rakyat, Dasar OKU Muqarrabun, Dasar Warga Ems Muqramun, Dasar Pelaburan, Dasar Rumah Mampu Milik dan Dasar Kebersihan.

Manakala bagi mengukuhkan lagi dasar sedia ada kerajaan negeri mewujudkan pula Strategi Merakyat Membangun Bersama Islam (2014-2018), Pelan Strategik Kelantan Kelantan Melangkah Ke Hadapan (2016-2025).



Turut dilaksana Pelan Induk Pembangunan Mampan Negei Kelantan (2018-2023), Pelan Strategik Pemerkasaan Sosio Taqwa Negeri Kelantan, Pelan Strategik Pemerkasaan Desa Taqwa Negeri Kelantan, Pendekatan Pengurusan Intirafi (profesional), Strategi Lautan Hijau dan Budaya Komuniti Rabbani (K Rabb). 


Kesimpulan


Di bawah era Dato’ Panglima Perang, PAS tidak lagi keseorangan mentadbir negeri. PAS membentuk kerjasama dengan Bersatu dan Gerakan yang melahirkan Perikatan Nasional (PN). Seorang Adun Bersatu turut dilantik sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri.

Adun Air Lanas Kamarudin Md Nor dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Keesenian dan Warisan Negeri. Seorang lagi pemimpin Bersatu dilantik Timbalan Speaker Dun Kelantan, Mohamad Farid Zawawi. 

Pemimpin Bersatu dan Gerakan turut dilantik sebagai ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan dan penghulu. 

Maka pada 21 Oktober ini genaplah 34 tahun usia kerajaan PAS. Meniti usia tersebut bukan sesuatu yang mudah. Banyak duri dan halangannya. Antaranya slot Kelantan Gerhana yang penah disiarkan secara bersiri di RTM. 

Hari ini bukan sekadar Kelantan berada di bawah PAS dan PN, sebaliknya menjalar ke Terengganu, Kedah dan Perlis.



Kelahiran PN membentuk lanskap baru politik di Malaysia. PN berjaya mentadbir Putrajaya pada Mac 2020 sehingga 18 November 2022. Sekarang PN mentadbir empat negeri dikenali sebagai Kerajaan Empat Negeri (SG4).

Post a Comment

0 Comments