Oleh: Saliemin Khesa Ahmad
KOTA BHARU, 17 Oktober - Kerajaan Negeri Kelantan hari ini menjelaskan keputusan memilih syarikat Perak Transit Berhad dan China Communication Construction Company (CCCC) sebagai pelaksana utama bagi projek Kota Bharu Sentral (KB Sentral) berikutan isu yang ditularkan mempersoal mengapa projek ini tidak diberikan kepada syarikat milik Melayu atau Bumiputera.
Menurut Timbalan Menteri Besar, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Dato’ Hassan, pemilihan itu dilakukan setelah kerajaan negeri mempertimbangkan pelbagai kaedah untuk menjayakan projek tersebut yang telah tertangguh hampir dua tahun selepas dua syarikat Bumiputera yang dilantik menarik diri.
“Kedua-dua syarikat
tersebut sebenarnya pegangan sahamnya muslim dan bumiputera. Dalam hal ini
kerajaan negeri sebenarnya telah sedaya upaya memberikan keutamaan kepada
syarikat milik muslim atau bumiputera,” katanya menjelaskan persoalan di laman
Facebook miliknya hari ini.
“Selain dari penswastaan,
kerajaan negeri pernah putuskan untuk membinanya sendiri. Tetapi timbul
persoalan siapa pula yang akan mengoperasikannya.
“Kerajaan negeri tidak
ada kepakaran membina dan mengoperasikannya mengikut standard yang telah
ditetapkan oleh pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Kementerian
Pengangkutan Malaysia.
Tambah beliau, pemilihan Perak
Transit Berhad dan CCCC itu adalah berasaskan merit, namun keutamaan tetap
diberikan kepada syarikat bumiputera yang berkelayakan serta dibuat mengikut
prosedur pentadbiran yang telus dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan
negeri.
Antara justifikasi
pemilihan dua syarikat tersebut ialah Perak Transit mempunyai rekod yang
cemerlang membina dan mengoperasikan beberapa stesen pengangkutan bersepadu, manakala
CCCC yang terlibat dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta pembinaan
stesen utama di Tunjong juga mencatatkan rekod yang sangat baik.
Tambahan, tapak projek
pembinaan KB Sentral yang bersebelahan stesen ECRL akan lebih memudahkan kerja-kerja
pembinaan dan teknikal projek jika diusahakan oleh CCCC yang telahpun berada di
situ bagi menyiapkan projek ECRL.
Selain itu, Perak Transit
dan CCCC sanggup memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan berjanji menyiapkan
projek KB Sentral dalam tempoh yang ditetapkan.
Dr. Fadzli yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Temangan itu menegaskan pemilihan yang dibuat kerajaan negeri adalah mengikut prosedur pentadbiran yang telus serta mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri.
0 Comments