Oleh A Rahman Harun
KOTA BHARU:
Kelantan menjadi pengeluar emas kedua terbesar di Malaysia selepas Pahang,
kemudian diikuti Sabah, Terengganu dan Sarawak.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, Kelantan menerima royalti tertinggi iaitu 10 peratus yang dibayar dalam bentuk jongkong emas tulen berbanding negeri lain menerima bayaran antara lima hingga 7.5 peratus.
Selain itu kerajaan negeri turut mengenakan 'tribute' sebanyak empat peratus kepada syarikat yang mendapat lesen melombong emas Sokor di Tanah Merah dan beberapa lokasi di Gua Musang.
Katanya, sehingga sekarang kerajaan negeri memberi kelulusan untuk melombong emas kepada 20 syarikat termasuk anak tempatan yang mempunyai kemampuan menjalankan aktiviti terbabit.
“Daripada jumlah itu 19 syarikat terbabit menjalankan perlombongan dalam skala lebih kecil jika dibandingkan dengan CMNM Mining Group yang berpangkalan di Singapura," katanya menjawab soalan tambahan Dato' Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) pada persidangan DUN hari ini.
Menurutnya juga kerajaan negeri sentiasa memberi galakan dan sokongan kepada syarikat tempatan termasuk Yayasan Kraftangan Kelantan, Warisan Tiara, Prima Warisan Venture dan CMNM.
"Kita mengalu-alukan terutamanya syarikat bumiputera, namun kita kena pastikan syarikat terbabit ada kemampuan, kepakaran dan benar-benar mahu melombong, bukan menjual kawasan kepada syarikat lain," katanya.
Perlombongan emas di Sokor merupakan projek usahasama antara Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan CMNM Mining Group Sdn Bhd.
Lombong terbabit melibatkan aktiviti perlombongan emas secara terbuka dan terowong. Selain emas, kawasan terbabit turut menghasilkan plumbum dan zink yang diekstrak menggunakan teknologi pengapungan.
Projek tersebut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri dan membuka peluang pekerjaan serta pemindahan teknologi kepada tenaga kerja tempatan.



0 Comments