Kelantan Wujudkan Zon Pelancongan Berasaskan Produk Tempatan Perkukuh Agro Pelancongan Negeri


Oleh: Che Maziah Mat

KOTA BHARU, 9 November – Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkukuh sektor agro pelancongan dengan mewujudkan zon pelancongan berasaskan produk tempatan bagi menjadikan negeri ini sebagai destinasi utama pelancongan tani di Pantai Timur.

EXCO Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pembangunan zon pelancongan berasaskan hasil seperti jagung, ubi, tembikai, nenas dan hasil laut berpotensi besar menarik pelancong domestik serta antarabangsa.

Menurut beliau, inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Pertanian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta pihak berkuasa tempatan bagi menggabungkan kekuatan sektor pertanian dan pelancongan.

“Selain memperkenalkan hasil tani sebagai tarikan baharu, usaha ini turut membantu memperkukuh ekonomi luar bandar melalui peluang pekerjaan dan keusahawanan komuniti setempat,” katanya ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Tawang, YB Harun Ismail pada Persidangan Kali Ketiga Dewan (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2025, di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.


Antara kawasan tumpuan termasuk Kuala Balah, Jeli sebagai hab utama penanaman jagung dan Kampung Paloh, Tanah Merah yang menerima peruntukan lebih RM500 ribu bagi projek komuniti tanaman kontan. Zon ubi pula tertumpu di Bachok dan Pasir Puteh dengan keluasan hampir 700 hektar, manakala Bachok turut menjadi pengeluar utama tembikai negeri dengan keluasan lebih 1,200 hektar.

Selain itu, Ayer Lanas, Jeli dikenal pasti sebagai zon utama tanaman nenas, manakala LKIM Geting, Tumpat dan LKIM Tok Bali, Pasir Puteh dibangunkan sebagai pusat pendaratan hasil laut serta lokasi Festival Hasil Laut Kelantan. Kerajaan negeri turut membangunkan zon agro-akuakultur dan eko-pelancongan seperti Santuari Ikan Sungai Chalil di Gua Musang, FMC Kelah Eco Park di Kuala Krai, dan Zon Akuakultur Danau To’ Uban di Pasir Mas.

Post a Comment

0 Comments