Ticker

6/recent/ticker-posts

Ashaari pernah pelopori ekonomi ummah




Oleh ARUS LEBIR 

SEHINGGA sekarang isu Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) belum bernokhtah. Ia jadi popular dalam sekelip mata. Mengapa, tidak lain lagi kerana dikait dengan Al Arqam. 

Mengapa kemunculan GISBH ditonjol begitu luar biasa. Sedangkan isu berkaitan Al Arqam sudah lama berlalu. Malah fatwa mengenainya orang ramai sudah sedia maklum.

Menurut Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia, pergerakan itu muncul ekoran hasrat Ashaari Muhamad menghadapi kemerosotan moral, politik, ekonomi dan budaya masyarakat Melayu Islam pada 1960-an.

“Al Arqam beroperasi di luar sistem politik dan ekonomi konvensional. Mereka tidak terlibat dalam politik pilihan raya dan amalan perbankan konvensional.

“Ekonominya berasaskan pengorbanan, kerja keras dan kesetiaan kepada perjuangan. Sikap politik dan ekonominya sememangnya subversif terhadap sistem kapitalis dan demokrasi Malaysia moden,” katanya.

Ashaari memimpin pergerakan itu dan berkembang pesat antara 1970-an hingga 1990-an.



Bagi bekas pensyarah Univeriti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Mohamed Fadzli Hassan, sebelum ini sudah ada fatwa berkenaan Al-Arqam.

“Dan sekiranya GISB Holdings mewarisi amalan Al-Arqam, ia tidak memerlukan fatwa yang baharu,” katanya. 

Kerajaan mengharamkan kumpulan Al Arqam berdasarkan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan pada 5 Ogos 1994. 

Fatwa Majlis Kebangsaan memutuskan bahawa ajaran dan fahaman kumpulan al Arqam bertentangan dengan akidah dan syariah Islam.

Selangor paling awal mengisytiharkan pertubuhan Al Arqam sebagai salah satu ajaran salah. Ia mendahului ajaran Haji Kahar. Perkara itu terkandung dalam Warta Kerajaan Fatwa Ajaran Sesat terbitan Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Sejarah awal

Al Arqam diasaskan Ashaari pada tahun 1968 bersama beberapa sahabat. Kumpulan itu digelar Kumpulan Rumah Putih di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. 

Beberapa tahun kemudian kumpulan disebut menukar nama gerakan kepada Darul Arqam. Selepas itu tersebar pula amalan Aurad Muhammadiah yang disebut diamal Asaari dan pengikutnya.


Itu cerita lama. Isu berkaitan aqidah tidak boleh dikompromi. Tindakan tegas kerajaan perlu dipuji.

Seperti kata seorang pegawai tentera Iraq, Jeneral Mahmood Shith Khattab, hakikat kejayaan dalam Islam ialah kemenangan aqidah Islamiah ke atas sistem jahiliah. 

Ia proses perubahan (inqilabiyah) daripada sistem taghut kepada sistem Islami.  

Kuasa ekonomi

Berdasar senario yang diperlihatkan sekarang seolah-olah empayar GISB begitu digeruni pelbagai pihak. Bukan lagi sekadar persoalan akidah sebaliknya kuasa ekonomi.

Sedangkan fatwa mengenai Aurat Muhammadiah sudah jelas. Kita nokhtah di situ. Kerajaan boleh membimbing semula bekas pengikut al Arqam kalau terbukti mereka sesat.  

Namun, umat Islam perlu belajar empayar ekonomi yang dibina mereka. Biar apa nama sekali pun mereka mewakili kelompok Islamik. 

Kita masih ingat Al Arqam pernah mengeluarkan produk bagi keperluan umat Islam. Pada awal 1990-an Al Arqam menghasil produk makanan halal.



Ia dijual dikedai grocery mereka. Selain itu ada klinik dan hospital bersalin Al Arqam yang dikendalikan doktor perempuan. Terdapat juga bengkel kereta dan kedai IT yang jarang dipelopori orang Islam ketika itu. 

Di sebalik ajaran yang dianggap diseleweng mereka ada kekuatan ekonomi. 

Dan sekarang Global Ikhwan Services & Business Holdings berjaya melebarkan rangkaian perniagaan di dalam dan luar negara.

Nafi

GISB juga dilapor mempunyai kuasa hartanah yang besar. Paparan mengenai kekuatan perniagaan boleh dilihat di media, ketika serbu dibuat pihak berkuasa. 

Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Lokman Hakim Pfordten pada kenyataan di media berkata, masih ada segelintir pihak mengaitkan GISBH sebagai sebuah pertubuhan Al-Arqam dengan membuat pelbagai dakwaan negatif.

“Maka kami berasumsi kuasa yang lebih besar telah mengintai GISB dan mahu menjatuhkan mereka. Kuasa itu ialah ‘deep state’ yang mengawal negara kita,” ujar seorang pensyarah.  

Persoalannya mungkinkah di sebalik isu tersebut ada unsur-unsur lain. 

Bagi meredakan isu tersebut ada baik kita kongsi hujah dilontar Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Semua pihak harus menghentikan budaya membuat ‘keputusan’ sebelum diputus oleh mahkamah berkenaan isu yang tular tentang GISBH.

“Banyak pihak yang mengulas isu siasatan GISBH sehingga menggambarkan seolah-olah hukuman bersalah telah dijatuhkan.

“Seharusnya kita perlu membiarkan siasatan lengkap pihak polis, agensi penyiasat, badan berautoriti agama sehinggalah keputusan mahkamah,” ujarnya kepada kenyataan baru-baru ini.  

Oleh itu kata beliau budaya membuat ‘keputusan’ sebelum mahkamah memutuskan sepatutnya dihentikan.

Post a Comment

0 Comments