Ticker

6/recent/ticker-posts

"Tiada guna kita berbangga dengan kejayaan yang diperolehi jika jiwa kita kosong” - MB

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 10 Oktober - Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Kelantan pada 2018 bertujuan melahirkan generasi al-Quran yang akan membangunkan negeri ini pada masa hadapan.

"Sesungguhnya pembangunan dan kemajuan yang ingin dicapai oleh oleh sesebuah negeri hendaklah bertonggakkan di atas kemampanan dan keberkesanan sistem pendidikan khususnya pendidikan yang berteraskan wahyu Allah iaitu dengan menjunjung perintah agama.

Menteri Besar, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, pembangunan yang ingin dicapai oleh sesebuah negeri bergantung kepada sistem pendidikan.

"Melalui Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) kita tidak mahu generasi yang lahir dari intitusi pendidikan di bawah kerajaan negeri hanya mementingkan kejayaan duniawi sahaja tetapi kejayaan itu mesti seiring dengan kehendak al-Quran yang menjadi sumber perlembagaan dalam kehidupan sebagai seorang Muslim. 

"Tiada guna kita berbangga dengan kejayaan yang diperolehi jika jiwa kita kosong dan tidak diisi dengan cahaya Islam.

"Kesungguhan kerajaan membangunkan rakyat supaya menghayati dan mengamalkan ajaran agama di zahirkan secara jelas apabila menjadikan sektor pendidikan sebagai asas pembangunan ummah dan negeri".

Beliau berkata demikian ketika berucap di Istiadat Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Ke-24 di Dewan Johor KIAS pada Isnin.

Kerajaan Negeri Kelantan yang dibina atas dasar Membangun Bersama Islam meletakkan satu hala tuju yang jelas apabila menjadikan sektor pendidikan sebagai satu asas dan pelaburan penting dalam membangunkan negeri. 

Menyingkap sejarah penubuhan KIAS, Menteri Besar berkata, kewujudan KIAS adalah kesinambungan dari Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTK) Nilam Puri yang ditubuhkan pada tahun 1965. 

"Setelah YPTK diserapkan ke Universiti Malaya dengan nama Akademi Islam Universiti Malaya (AIUM) pada tahun 1981, Kerajaan Negeri Kelantan era Membangun Bersama Islam dengan wawasan yang tinggi telah menubuhkan Maahad Dakwah Wal-Imamah pada tahun 1994 sehinggalah berlaku beberapa proses naik taraf menjadi kolej universiti.

"Kegemilangan generasi yang lahir dari YPTK dan Maahad Dakwah Wal-Imamah ini hendaklah menjadi pembakar semangat kepada warga KIAS pada hari ini", ujarnya.

Sementara itu, anugerah graduan terbaik dianugerahkan kepada graduan daripada diploma Syariah iaitu Adibatul Busyra Mohd Saiba. Beliau menerima anugerah kecemerlangan Muhammad Al-Fatih.


Post a Comment

0 Comments