Ticker

6/recent/ticker-posts

FUN RUN DAN CAT WALK MERIAHKAN SAMBUTAN HARI SUKAN NEGARA 2024

Oleh: Saliemin Khesa Ahmad

PASIR PUTEH, 13 Oktober - Lebih 500 warga Pasir Puteh yang terdiri daripada kanak-kanak hingga dewasa menyertai acara sukan komuniti Fun Run dan Cat Walk 2024 anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dengan kerjasama Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) yang berlangsung di Taman Awam Pasir Puteh, semalam.

Menurut Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Nor Asilah Mohamed Zin, acara larian itu dilaksanakan bagi membudayakan gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan masyarakat setempat.

"Program ini sebenarnya juga bersempena dengan Hari Sukan Negara, dimana kita memilih tarikh yang sesuai iaitu pada hujung minggu, bagi membolehkan lebih ramai masyarakat Pasir Puteh menyertai acara larian Fun Run ini.

"Alhamdulillah, apabila kita buka kepada semua kategori seperti kanak-kanak, dewasa dan veteran, kita lihat kesepakatan antara masyarakat Pasir Puteh ini sungguh hebat.

"Program ini juga tidak terhad dan terbuka bukan sahaja kepada warga DUN Limbongan sahaja, malah terbuka kepada seluruh masyarakat di Parlimen Pasir Puteh," katanya ketika ditemui UPKN di sini, pada Sabtu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Limbongan itu berkata, Taman Awam Pasir Puteh menjadi pilihan utama pihaknya kerana kebanyakkan masyarakat setempat mengadakan aktiviti sukan seperti berjogging dan beriadah bersama keluarga di taman tersebut dan kawasan yang lebih strategik untuk berkumpul.

Tambah beliau, Taman Awam Pasir Puteh ketika ini masih lagi ditambah baik dengan pemasangan pagar di sekeliling taman tersebut bagi menghalang kemasukan haiwan liar di kawasan sekitar dan demi menjaga keselamatan pengunjung.

Untuk rekod, program Fun Run dan Cat Walk telah bermula seawal jam 7.00 pagi dan dimulakan dengan acara larian kategori kanak-kanak lelaki dan perempuan sejauh tiga kilometer (km) serta dimeriahkan dengan acara berjalan bersama kucing peliharaan.






Post a Comment

0 Comments