Ticker

6/recent/ticker-posts

HOSPITAL BACHOK MUDAHKAN PENDUDUK DAPAT RAWATAN LEBIH DEKAT - MB

 
Oleh: Norzana Razaly 

KOTA DARULNAIM, 13 Oktober - Pembinaan Hospital Bachok yang akan beroperasi pada November depan bakal memberi perkhidmatan kepada 160,000 penduduk di jajahan itu.

Menteri Besar, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, pembinaan prasarana itu memudahkan penduduk Bachok dan sekitarnya mendapatkan rawatan lebih dekat tanpa perlu ke Kota Bharu.

Sekali gus, mengurangkan kesesakan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu dan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) di Kubang Kerian.

“Dengan lebih 200 lot parkir, hospital ini akan memudahkan penduduk Bachok mendapatkan rawatan lebih dekat tanpa perlu ke Kota Bharu. Ini secara langsung akan mengurangkan kesesakan di HRPZ II dan HUSM,” catatnya pada laman sosial.

Beliau hadir ke Majlis Penyerahan Hospital Bachok di Jelawat bersama Timbalan Perdana Menteri 2, YAB Dato’ Sri Fadillah Yusof pada Jumaat.

Penyerahan Hospital Bachok daripada Jabatan Kerja Raya kepada Kementerian Kesihatan itu turut disaksikan Pengarah JKR Negeri Kelantan, Ir. Nik Soh Yaacob dan Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Dato’ Dr. Zaini Hussin.

Tambah Menteri Besar, beliau turut berharap hospital itu memberi banyak kebaikan buat rakyat Bachok dan penduduk setempat.

“Semoga hospital ini menjadi manfaat besar buat rakyat Bachok dan sekitarnya, insya-Allah,” katanya.

Pembinaan Hospital Bachok di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) bernilai RM71.3 juta itu yang bermula pada 26 September 2016.

Ia melibatkan berkeluasan 20.32 hektar dengan tapak pembinaan seluas 8.9 hektar merangkumi pembinaan blok hospital tiga tingkat yang dilengkapi dua bilik pembedahan, klinik-klinik pakar, tiga wad untuk pesakit lelaki, perempuan, ibu dan anak. 

Turut disediakan 76 katil, dewan bedah, dewan bersalin, forensik, makmal, ruang dialisis, kecemasan, pengimejan, ruang sokongan, perubatan dan unit pentadbiran serta latihan.



Post a Comment

0 Comments