Ticker

6/recent/ticker-posts

KERAJAAN NEGERI SUMBANG RM675 RIBU KEPADA PELAJAR LANJUT PENGAJIAN KE IPT

Oleh : Che Maziah Mat

KOTA BHARU, 10 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan sejumlah RM675 ribu kepada 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi tujuan manfaat pendidikan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, peruntukan itu melibatkan sumbangan kemasukan pelajar baharu ke  institusi pengajian tinggi (IPT) yang diagihkan secara ‘one-off’

“Setiap tahun kita beri sumbangan kepada anak-anak pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT sebagai bantuan awal, yang mana setiap DUN akan menerima RM15,000 untuk diagihkan kepada 150 orang pelajar di DUN masing-masing,” katanya kepada media semalam. 

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Kubor itu berkata, seramai 120 orang pelajar yang cemerlang ke IPT peringkat DUN Pengkalan Kubor telah menerima sumbangan baru-baru ini dalam satu majlis penyampaian yang diadakan di Dewan Wisma Imtiyaz, Pusat Khidmat DUN Pengkalan Kubor.

“Saya ucapkan tahniah dan selamat menuntut di IPT kepada mahasiswa yang telah berjaya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma atau ijazah sarjana muda.

"Sesungguhnya kejayaan ini merupakan langkah pertama dalam mencapai kejayaan yang lebih besar, gunakan peluang ini sebaik mungkin dalam merealisasikan cita-cita dan harapan ibu bapa, bangsa dan agama," ujarnya.

Post a Comment

0 Comments