KUALA KRAI: Jenazah mangsa yang diserang harimau, Adnan Ismail, 54, di rumah kongsi Bagan Balak, Km 79.2, Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli selamat dikebumikan kira-kira jam 12.30 pagi tadi.
Arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kenor, dekat sini. Hadir sama anggota Exco Kerajaan Negeri Hilmi Abdullah.
Hilmi berkata, jenazah mangsa dibawa dari Hospital Taiping petang semalam setelah selesai urusan bedah siasat dan dibawa ke rumah keluarga Allahyarham di Kampung Ngangoh.
“Saya bertolak dari Kuala Lumpur kira-kira jam 6 petang semalam untuk membantu menguruskan jenazah arwah. Saya merakam ucapan terima kasih kepada semua pihak yang mencari mangsa serta menguruskan jenazah.
“Begitu juga team sukarelawan Mat Jenazah Gua Musang yang memberi khidmat van membawa jenazah dari Gerik ke Kuala Krai," katanya pada catatan di laman sosialnya.
Hilmi yang juga ADUN Guchil turut merakam ucapan terima kasih kepada Skuad Bantu Kuala Krai serta Team Barracuda dan Lacar Group yang turut menyertai misi mencari.
Media semalam melaporkan Adnan maut diserang harimau dalam kejadian di rumah kongsi Bagan Balak, Km 79.2, Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli.
Pada kejadian awal pagi semalam Adnan dikatakan keluar dari rumah kongsi untuk berwuduk sementara menunggu waktu Subuh.
Menceritakan kejadian itu kepada media isteri kedua Allahyarham, Saina Binsa-i, 54 memberitahu, ketika beliau sedang solat tahajud terkejut mendengar bunyi sesuatu terjatuh di hadapan pintu rumah kongsi yang didiami sejak sebulan lalu.
Saina Binsa-i |
Katanya, beliau segera keluar meninjau kerana bimbang keselamatan suaminya, namun mendengar bunyi kuat seolah-olah ada orang diseret dari arah semak.
Jenazah arwah ditemui 100 meter dari rumah kongsi pada pagi kejadian.
Hilmi berkata, mangsa sepatutnya pulang ke Kuala Krai pada hari kejadian untuk bertemu keluarga.
0 Comments