Ticker

6/recent/ticker-posts

MB ZAHIR PENGHARGAAN ATAS KECAKNAAN PERDANA MENTERI

 

Oleh: Che Maziah Mat

KOTA BHARU, 2 Oktober - Menteri Besar, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berterima kasih dan menyambut baik pengumuman kelulusan peruntukan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kemudahan rakyat di negeri ini. 

"Saya mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia atas kunjungan dan lawatan kerja ke negeri Kelantan sempena pengurniaan darjah kebesaran daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V," katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, Kerajaan Negeri sentiasa bersikap komited dalam mengamalkan aktiviti budaya politik matang dan sejahtera dalam urusan kerjasama yang boleh membawa manfaat kepada negeri dan juga rakyat.

“Semangat federalisme hendaklah sentiasa dijunjung tinggi dalam memastikan kebajikan rakyat terus diberi keutamaan dan ia merupakan kunci kepada pembangunan berterusan dan kesejahteraan rakyat.

“Budaya berpolitik matang dan sejahtera sentiasa terbuka untuk kerjasama yang membawa manfaat kepada negeri ini tanpa mengira perbezaan politik, selaras dengan prinsip 'Membangun Bersama Islam' yang menjadi dasar pentadbiran negeri,”

Terdahulu, PM mengadakan lawatan kerja selama sehari ke Kelantan dan mengumumkan beberapa peruntukan seperti kos Pusat Dialisis Yayasan Sultan Kelantan Darul Naim sebanyak RM8 juta dan menambah baik infrastruktur Pasar Siti Khatijah sebanyak RM5.5 juta. 

Dalam pada itu, beliau juga turut memberi jaminan akan meneruskan pelaksanaan projek tebatan banjir, bekalan air bersih dan menyelesaikan masalah bekalan air kepada pesawah.

Post a Comment

0 Comments