Ticker

6/recent/ticker-posts

PEMIMPIN, MASYARAKAT KOTA BHARU BERTINDAK PROAKTIF HADAPI BANJIR

Kredit foto: Media Ahli Parlimen Kota Bharu

Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 6 Oktober – Tindakan proaktif diambil Ahli Parlimen Kota Bharu, YB Datuk Seri Takiyudin Hassan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan  Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Dato' Sr. Zamri Ismail sebagai persediaan menghadapi banjir yang lazimnya berlaku saban tahun.

Para pemimpin tersebut menyertai Program Gotong royong Perdana Alor C yang turut melibatkan 100 peserta termasuk penduduk kampung setempat yang membersihkan persekitaran Kampung Dusun Muda dalam radius 200 meter.

Program kemasyarakatan yang bermula pada Khamis hingga Sabtu itu mendapat sokongan penuh daripada petugas di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu, Pusat Khidmat Dun (PKD) Kota Lama dan pegawai Majlis Perbandaran Kota Bharu- Bandaraya Islam (MPKB-BRI).

Turut mengambil bahagian ialah Ahli Majlis MPKB-BRI, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), para penghulu DUN Kota Lama, RELA dan Pejabat Tanah Kota Bharu. 

Dato' Zamri memaklumkan pihaknya membantu menyelaras program di bawah kelolaan PKD Kota Lama bersama pemimpin, agensi terlibat dan masyarakat setempat. 

Mereka bergotong royong membersihkan semak samun, sampah sarap dan pokok liar yang menghalang laluan air di tepi dan di dalam parit yang mengalir ke longkang utama. 

“Tindakan proaktif kita ambil sebagai persediaan awal menghadapi banjir yang lazimnya berlaku pada musim Monsun Timur Laut, sekitar Oktober hingga Januari.

“Kerja-kerja pembersihan dilakukan secara manual dengan bantuan eskavator yang disediakan oleh pihak urus setia. 

Manakala syarikat Buj pula membantu dalam menyediakan lori dan pekerja,” jelasnya ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya, lampu solar turut akan dipasang di tepi jalan Dusun Muda ke Kubur Maras.

Post a Comment

0 Comments