Ticker

6/recent/ticker-posts

I-BARAKA (CLIL): INISIATIF PEMERKASAAN BAHASA ARAB DI SEKOLAH YIK

Oleh: Saliemin Khesa Ahmad

KOTA BHARU, 6 September - Kursus Pemerkasaan Bahasa Arab menerusi pendekatan i-Baraka (CLIL) bakal menjadi inisiatif bagi pemerkasaan Bahasa Arab di sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) bermula tahun 2025.

Inisiatif tersebut merupakan cadangan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat yang mula diterapkan di sekolah Maahad Muhammadi Lelaki (MML) dan Maahad Muhammadi Perempuan (MMP) seluruh Kelantan yang akan mula diterapkan di kedua-dua sekolah itu ketika ini sebagai projek rintis i-Baraka.

Menurut Dekan Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Madya Dr/ Kamarulzaman Abdul Ghani, pihaknya telah menyampaikan pembentangan berkenaan perkara tersebut secara mendalam kepada guru-guru subjek Bahasa Arab dan Mawad Diniyyah.

“Sebagai permulaan, program ini melibatkan aktiviti berbahasa Arab di dalam dan luar kelas yang akan bermula pada sesi persekolahan 2025 bagi semua pelajar tingkatan satu sahaja.

“Seramai 35 guru dari MML dan MMP telah dipilih untuk bersama menjayakan program pemerkasaan ini di peringkat sekolah masing-masing dengan kerjasama Institut Latihan Darul Naim (ILDAN) dan YIK sendiri,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat kepada guru-guru YIK di Bilik Gerakan, di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Timbalan Pengarah (Akademik dan Pendidikan) ILDAN, Soleh Ibrahim serta Pengarah Pusat Pembangunan Akademik dan Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Rohaidi Habil.

Jelas beliau, melalui pembentangan itu, pihaknya yakin ia dapat membantu dalam memperkasakan Bahasa Arab dan Pendidikan Islam di sekolah-sekolah YIK bagi melahirkan pelajar yang bukan sahaja fasih berbahasa Arab, tetapi juga mampu mengaplikasikan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian sekali gus menjadi generasi yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Tambahnya, selain pelajar, kursus pemerkasaan tersebut juga membolehkan guru-guru YIK memperkukuh Kemahiran pengajaran mereka dalam bahasa Arab dengan lebih berkesan mengikut keperluan semasa.

Sebagai rekod, MML dan MMP telah dipilih sebagai sekolah model berprestasi tinggi Bahasa Arab yang berkemampuan untuk menjadi sekolah perintis i-Baraka (CLIL) sebelum diperluaskan ke seluruh sekolah YIK.



Post a Comment

0 Comments