Ticker

6/recent/ticker-posts

GAJI PENGHULU KELANTAN PALING TINGGI - TIMBALAN MENTERI BESAR

Oleh: Zaki Mustafa

KOTA BHARU, 6 Oktober - Timbalan Menteri Besar, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan mendedahkan daripada maklumat yang diperolehinya, difahamkan gaji ataupun elaun penghulu di Kelantan lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain.

Pendedahan itu dibuat semasa menyampaikan ucapan di Majlis Sidang Penghulu 1.0 Negeri Kelantan di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan, Pengkalan Chepa malam tadi.  

“Soalan yang paling popular ialah bila nak naik gaji penghulu? Bila nak naik gaji penghulu selepas dua tahun lepas (dah) naik. Dan sebelum itu, dua tahun sebelum itu juga naik.

“Saya difahamkan, tak pasti betul atau tidak tapi disahkan oleh (YB) Tuan Haji Huzaimy (ADN Pantai Irama), setelah dialog dibuat di beberapa negeri terbukti penghulu negeri Kelantan paling tinggi gajinya,” dedah beliau.

Pada Mac 2023 elaun penghulu di seluruh Kelantan telah dinaikkan daripada RM1100 kepada RM1500. Dua tahun sebelum itu juga telah berlaku kenaikan elaun.

Timbalan Menteri Besar yang merupakan Pengerusi Majlis Pembangunan Penghulu Negeri Kelantan turut menghargai peranan berkesan yang dimainkan penghulu sebagai pemimpin di peringkat akar umbi.

“Penghulu telah memainkan peranan yang berkesan dalam menjaga kebajikan masyarakat dan memimpin masyarakat,” ujar beliau.

Dalam majlis itu, Dr. Fadzli turut menzahirkan pelantikan Zulkifli Mamat, mantan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan sebagai Pengarah Urusetia Pembangunan Penghulu Negeri Kelantan menggantikan Jamaludin Ishak yang telah berkhidmat selama 15 tahun.   

Penyampaian cenderamata penghargaan sempena persaraan mantan pengarah, Jamaludin Ishak

Sebelum itu, Zulkifli Mamat dalam ucapannya meletakkan visi untuk melahirkan penghulu yang bermaklumat, berintegriti dan berhemah. Manakala misi penghulu, santuni rakyat dengan mesra.

Majlis Sidang Penghulu 1.0 Negeri Kelantan dimulai dengan program dialog dan taklimat modul kepimpinan Amirul Mukminin oleh Pengarah IPTG, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Johari Mat. 

Post a Comment

0 Comments