Ticker

6/recent/ticker-posts

RM5.5 JUTA UNTUK TAMBAH BAIK INFRASTRUKTUR PASAR SITI KHADIJAH - PM

Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 2 Oktober – Perdana Menteri YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan RM5.5 juta bagi penambahbaikan infrastruktur di Pasar Siti Khadijah, merangkumi aspek kebersihan, tandas, baik pulih bumbung dan sistem pendawaian.

Beliau memaklumkan peruntukan tersebut adalah di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) menjadikan keseluruhan RM7 juta yang sudah diluluskan oleh Kerajaan Pusat sejak tahun 2023.

"Pada November tahun lalu, kita sudah luluskan peruntukan RM500,000 untuk baik pulih bumbung dan RM1 juta pada tahun ini untuk proses mengecat dan baik pulih struktur konkrit yang merekah.

"Disebabkan masih ada proses yang perlu dilakukan termasuk sistem pendawaian yang perlu ditukar, hari ini kita mengumumkan peruntukan RM5.5 juta pula menjadikan keseluruhan RM7 juta untuk Pasar Besar Siti Khadijah," jelasnya.

Beliau turut mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) memantau dan menyegerakan projek berkenaan.

"Jika projek ini perlu ditender sekalipun, ia mesti dilakukan dengan cepat kerana Pasar Besar Siti Khadijah menjadi tumpuan orang ramai dan mempunyai 1,500 peniaga. Apa yang kita usahakan ini demi mengenangkan ribuan peniaga di sini," ujarnya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Peniaga Pasar Besar Siti Khadijah, pada Selasa.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kota Bharu YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah.




Post a Comment

0 Comments