Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 1 OKtober - Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Nik Nazmi Nik Ahmad turun padang meninjau kemajuan projek Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Chicha fasa dua dan sistem agihan di Pasir Hor, pada Selasa.
Beliau meluangkan masa di tapak projek mendengar taklimat perkembangan projek di bawah seliaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Ir. Zulkiflee Omar memaklumkan bahawa semua pihak yang terlibat dalam projek itu sedang bergerak pantas untuk membantu membekalkan sumber air dengan baik kepada rakyat Kelantan.
"LRA Chicha ini adalah antara lima projek besar yang menelan kos keseluruhan RM273 juta selain LRA Bukit Chupak serta Tanjung Mas.
"Dua lagi projek di bawah peruntukan itu adalah penggantian paip lama dan uzur di Kota Bharu Timur, Machang, Tanah Merah serta Kuala Krai iaitu sepanjang 104 kilometer," katanya kepada media.
Siap kelak, LRA Chicha akan membekalkan 20 juta liter sehari (JLH) air bersih kepada 13,500 pengguna dengan 5 JLH disalurkan kepada akaun pengguna di Pasir Hor dan selebihnya ke Kota Seribong.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan pembinaan loji tersebut membabitkan keluasan 1.84 hektar dan sumber air adalah dari bawah tanah dengan proses penggalian sedalam 100 meter.
"LRA Chicha ini digali pada kedalaman 100 meter berbanding kebiasaan iaitu sekitar 40 hingga 50 meter saja dan apabila lagi dalam, kualiti air adalah sangat baik.”
Perdana Menteri dan rombongan dalam rangka lawatan singkat ke Kelantan sebagai tetamu istana yang mendahului senarai penerima Ahli Yang Kehormat Yang Pertama bagi menerima darjah kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK) membawa gelaran Dato’ sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V yang ke-55.
Turut mengiringi, Exco Pembangunan Islam, Penerangan, Dakwah dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud bersama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, YB Dato' Dr Izani Husin dan timbalannya, YB Mohd Saizol Ismail.
0 Comments