Ticker

6/recent/ticker-posts

Tambah aset hadapi kemungkinan banjir - MB


KOTA BHARU: Beberapa langkah diambil kerajaan negeri bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir di negeri itu ekoran ramalan hujan lebat.

Menteri Besar, Dato' Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, tiga langkah utama dikenal pasti termasuk meningkatkan jumlah aset sebanyak 19,619 berbanding aset sebelumnya 17,147.

Katanya, aset terbabit merangkumi kenderaan, jentera, bot khemah kubik, genset dan peralatan-peralatan lain berada dalam keadaan siap sedia.

Selain itu sebanyak 459 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dikenal pasti yang mampu menampung lebih 186,440 orang berbanding tahun lalu hanya sebanyak 214 PPS dibuka.

"Kerajaan negeri memastikan bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi dengan menyediakan depot simpanan keperluan bencana, 17 stor bencana dan lebih 160 pengkalan hadapan diurus Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya pada kenyataan hari ini.


Jabatan Meteorologi Malaysia meramal berlaku hujan lebat di Kelantan bermula November 2024 hingga Februari 2025.

Menteri Besar berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengendali 108 stesen telemetri hujan dan aras air, 59 siren amaran banjir, 117 tolok arus, 5 webcam, 137 pam bergerak, sebuah empangan pertanian dan empat kolam takungan pemantauan.

Pada masa yang sama 7,209 anggota petugas terdiri daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM), Bomba dan Penyelamat, PDRM, Rela, Angkatan Tentera Malaysia dan 10 agensi lain bersedia untuk digerakkan.

Menurutnya jumlah tersebut ditambah berbanding 7,147 orang tahun lalu.

Kata beliau kerajaan negeri mengambil tanggungjawab penuh terhadap kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan rakyat sepanjang musim tengkujuh.


“Ia sentiasa menjadi keutamaan kerajaan yang dilaksanakan secara bersepadu antara agensi-agensi persekutuan dan negeri.

"Saya menggesa penduduk terutamanya yang tinggal di kawasan berisiko banjir sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa. 

"Jika amaran banjir dikeluarkan segera berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara yang dikenal pasti atau ke tempat lebih selamat," katanya.

Menurutnya juga orang ramai perlu memastikan menyimpan dokumen penting, ubat-ubatan dan barangan keperluan asas di tempat mudah dicapai. 

Tegas beliau paling penting elak daripada menyeberangi jalan yang ditenggelami air dan sentiasa ikuti perkembangan cuaca serta maklumat terkini daripada saluran rasmi.

"Saya juga berharap kita sama-sama memohon kepada Allah SWT dengan mengadakan solat hajat agar mengurniakan kesejahteraan dan dijauhi daripada segala musibah tidak diingini," katanya.

Post a Comment

0 Comments