Ticker

6/recent/ticker-posts

Elak sulaman kelingkan elak pupus ditelan zaman


KOTA BHARU: Sulaman kelingkan yang kini semakin pupus diberi perhatian serius kerajaan negeri memandangkan ia khazanah yang amat bernilai tinggi.

Sulaman dengan kilauan emas dan perak itu sebagai lambang kebesaran Istana Diraja Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim berkata, sulaman terbabit sekarang semakin pupus berikutan tiada generasi baharu mewarisinya memandangkan kaedah pembuatan memerlukan ketelitian.

Oleh itu katanya kerajaan negeri melalui Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita (U-KeKWa) akan menganjurkan kursus jahitan berkenaan.

“Kursus sulaman kelingkan akan diadakan tahun hadapan dengan kerjasama pengusaha sulaman kelingkan Nik Marhamah Nik Megat, 52.

“Kerajaan negeri mengambil tanggungjawab bagi mempertahankan sulaman ini kerana ia khazanah yang penting,” katanya selepas melawat perusahaan Nik Marhamah, di Taman Uda Murni semalam.

Beliau meninjau pembuatan sulaman serta koleksi yang dimiliki pengusaha terbabit.

Hadir sama Timbalan Exco Nur Asilah Mohamed Zin; Pengarah U-KeKwa, Ilvira Mohd Dasuki dan pengasas jahitan kelingkan, Nik Rahimah Nik Idris, 85.

Sementara itu, Nik Marhamah berkata, ada seorang pelapis yang berminat mendalami sulaman tersebut, namun belum mencukupi untuk menampung keperluan tempahan dari seluruh negara.

Kata beliau sulaman kelingkan tidak memerlukan peralatan canggih seperti mesin, sebaliknya kepakaran mencipta reka bentuk bunga, seni sulaman, ketekunan dan paling penting minat.

Post a Comment

0 Comments