Oleh: Saliemin Khesa Ahmad
KOTA DARULNAIM, 24 November –Sebanyak 439 premis makanan di negeri Kelantan telah mendapat persijilan halal berdasarkan statistik Pengesahan Sijil Halal Malaysia (SPHM) Negeri Kelantan setakat Oktober 2024.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, jumlah tersebut dikelaskan mengikut lapan kategori (muslim dan bukan muslim) iaitu produk makanan (333), premis makanan (17), barang gunaan (satu), kosmetik dan dandanan diri (tujuh), rumah sembelih (10), farmaseutikal (11), pengilangan kontrak (35) serta dapur hotel (17).
“Bilangan perniagaan bagi jajahan Kota Bharu adalah berjumlah 186, Tumpat sebanyak 23, Bachok sebanyak 20, Tanah Merah sebanyak 16, Machang sebanyak 28, Pasir Mas sebanyak 22, Pasir Puteh sebanyak 23, Kuala Krai sebanyak lapan, Gua Musang sebanyak tujuh, dan di Jeli pula adalah sebanyak enam.
“Justeru, baki 100 sebagaimana data keseluruhan (439) adalah melibatkan syarikat daripada luar Kelantan yang membuat pengilangan kontrak (OEM) di Kelantan,” katanya pada Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2024, hari ini.
Menjawab persoalan berkaitan tindakan dan langkah yang diambil oleh pihak berkuasa negeri (PBT) dalam memastikan premis makanan dan produk lain mematuhi piawaian persijilan halal, beliau berkata, pihaknya akan melaksanakan pemantauan ke atas pemegang sijil SPHM secara berkala dan akan mengeluarkan Notis Ketidakakuran ke atas pemegang sijil tersebut sekiranya tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan.
Tambah beliau, pihaknya turut akan menggantung atau menarik balik SPHM ke atas pemegang yang melakukan kesalahan tersebut.
Selain itu, YB Mohd Asri juga menegaskan, pihaknya akan mengadakan program pendidikan ke atas pemegang SPHM seperti Bengkel Manuan Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Industri) 2020 serta mengadakan kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk melaksanakan operasi dan pemeriksaan mengejut ke atas premis makanan dan pengilangan di negeri itu.
0 Comments