TUMPAT: Program Pidato Perdana Da’i Nusantara di Pantai Sri Tujuh, Pengkalan Kubor malam ini turut dihadiri ribuan penduduk termasuk dari Selatan Thailand.
Pelajar-pelajar sekolah pondok dan tahfiz datang dari wilayah Narathiwat, Patani dan Yala turut memenuhi tempat program. Ada yang datang dari Thailand sejak semalam.
Program bermula dengan solat Maghrib kemudian diikuti kuliah Maghrib disampaikan pendakwah bebas Ustaz Mokhtar Yaakub. Selepas solat Isyak diadakan solat hajat yang diimamkan Tuan Guru Awang Yusof dari Pondok Gelang Mas, Pasir Mas.
Timbalan Menteri Besar Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, program diadakan dalam tempoh yang singkat, namun tetap dihadiri ribuan rakyat Kelantan.Katanya lebih mengejutkan ramai yang datang dari Selatan Thailand bagi mengikuti pidato Dai Nusantara Prof Dr Abdul Somad dari Batu Bara, Sumatera, Indonesia.
"Biarpun program dirancang dalam tempoh yang singkat sejak seminggu lalu, namun tetap dihadiri ribuan penduduk," katanya pada program tersebut.
Adun Pengkalan Kubor, Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, beliau dimaklumkan program tersebut Sabtu lalu, namun berjaya diadakan dengan kesungguhan petugas dengan sokongan padu rakyat Kelantan.



0 Comments