Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 23 November – Berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan Negara (DOSM) Kelantan mencatat kehadiran 11.64 juta pelancong pada 2023, terdiri daripada 7.55 juta pelawat domestik dan 4.09 juta pelancong antarabangsa, peningkatan 15.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Prestasi ini menjadi indikator kukuh terhadap kejayaan sasaran 10 juta pelancong untuk Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK 2024).
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamaruddin Md Nor menjelaskan bahawa tema TMK 2024, "Family, Food & Festival", menyasarkan lonjakan pelancong menerusi pelbagai inisiatif strategik dan kerjasama erat dengan pemain industri.
Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Pasir, YB Mohamad Nasriff Daud Yatimee, yang bertanya tentang keberhasilan TMK 2024 dari segi bilangan pelancong serta impak kepada industri terlibat.
“Peningkatan ini turut mendorong pertumbuhan sektor berkaitan seperti perdagangan, penginapan, makanan dan minuman, selaras dengan aspirasi menjadikan Kelantan penyumbang utama kepada industri pelancongan negara,” katanya dalam Persidangan Kali Ketiga Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Ke-15, hari kedua, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kelantan aktif mempromosikan pelancongan di peringkat antarabangsa melalui penyertaan dalam program seperti Arabian Travel Market 2024 di Dubai pada 6 hingga 9 Mei 2024, Karnival Cuti-Cuti Malaysia di Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada 25 hingga 27 Oktober 2024, dan Inbound Tourism Berlin pada 4 hingga 6 Mac 2024.
Penglibatan tersebut melibatkan kerjasama Pasukan Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan bersama agensi pelancongan tempatan dan Tourism Malaysia untuk menonjolkan daya tarikan warisan budaya negeri, termasuk batik dan kraftangan, kepada pasaran global.
0 Comments