Oleh ARUS LEBIR
MENGIKUTI sidang Dewan Rakyat di era sekarang banyak situasi anda akan jemu, marah dan tidak jangka. Ada ahli parlimen seolah-olah hilang ingatan sejarah.
Mereka terkunci minda asal usul Tanah Melayu. Sejarah Malaya bermula pada zaman Kesultanan Melayu Melaka sekitar 1400 Masihi. Wilayah kesultanan Melayu Melaka meliputi sebahagian besar Semenanjung dan Pantai Timur Sumatera.
Malah, sebelum 1909 wilayah Kelantan meliputi sehingga ke Segenting Kra.
Namun, perjanjian antara United Kingdom dengan Thailand pada 10 Mac 1909 merombak segala-galanya.
Perjanjian itu yang diratifikasikan pada 9 Julai 1909 membentuk sempadan moden antara Malaysia dan Thailand seperti yang ada sekarang.
Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu diserahkan kepada British, manakala Pattani, Menara (Narathiwat), Singgora (Songkhla) dan Jala (Yala) menjadi milik Siam.
Maka tidak hairanlah peristiwa berdarah sering berlaku di Selatan Thailand sehingga sekarang.
Penjajahan menyebabkan dominasi politik orang Melayu semakin mengecil. Ketuanan Melayu tidak lagi seghairah dahulu.
British menjajah keseluruhan Tanah Melayu dengan membentuk Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu. Sebelum itu penjajah menguasai negeri-negeri Selat.
Bermula dari situ penjajah membawa masuk komuniti dari China dan India ke Tanah Melayu sebagai buruh yang bekerja di lombong dan ladang getah.
Kebanyakan buruh Cina dibawa masuk dari wilayah Kwangtung dan Fukien. Dan buruh India pula dari Negapatam dan Madras.
Merdeka
Kebanjiran pendatang dari India dan China diambil peluang oleh penjajah dengan meletak syarat tertentu sebelum Tanah Melayu diberi kemerdekaan.
Perjanjian yang ditandatangani pada 5 Ogos 1957 menjadi asas pembentukan perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.
Pada perjanjian itu disebut setiap orang yang lahir dalam Persekutuan pada atau selepas hari merdeka akan menjadi warganegara. Dan hari ini komuniti bukan Melayu semakin membesar di Malaya.
Kerajaan kemudian mengulangi apa yang dilakukan penjajah dengan membawa masuk buruh asing. Alasannya kerana orang Melayu dilabel malas bekerja di ladang dan sektor pembinaan. Benarkah begitu?
Dalam banyak keadaan kerajaan lebih akur terhadap tuntutan tauke bagi membolehkan buruh asing dilambak di Malaysia. Sekarang apa sudah jadi.
Kedatangan komuniti luar bukan lagi sekadar buruh, malah kemungkinan mereka menuntut kedudukan di sisi politik. Kemungkinan itu boleh berlaku pada masa akan datang. Buruh pelbagai lagi negara menuntut hak mereka.
Sedangkan Islam memberi peringatan lebih awal. Al-Quran jelas melarang menjadikan orang bukan Islam sebagai pemimpin.
Surah Ali ‘Imran ayat 28 bermaksud: “Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali (pemimpin / pelindung) dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Barang siapa berbuat demikian, nescaya lepaslah ia dari pertolongan Allah, kecuali kerana (siasat) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri (siksa)-Nya. Dan hanya kepada Allah kembali(mu).”
Bendera negara asing
Baru-baru ini geger isu bendera negara China muncul di banyak tempat di Malaysia. Bermula di Pulau Pinang kemudian menular ke Perak dan Johor.
Isu tersebut dibangkit pembangkang sehingga membuatkan penyokong kerajaan panas punggung. Mereka melenting tidak tentu pasal. Paling ketara ahli parlimen DAP.
Semalam ada yang cuba memaksa ahli parlimen Kuantan Wan Razali Wan Nor menarik balik apabila menyebut bendera China dikibar di Menara Chondong di Perak.
Sedangkan perlakuan itu jelas bertentangan dengan Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mengibar bendera asing di tempat awam.
Inilah kebimbangan yang dirasai penduduk pribumi sekarang. Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menguasai kerajaan dengan dibantu 44 ahli parlimen bukan Melayu.
Mereka terdiri daripada 34 ahli Parlimen Cina dan lapan India serta dua lagi parti lain. PH-Umno-GPS-GRS mempunyai 74 ahli Parlimen Melayu.
Sebaliknya kesemua 74 ahli parlimen pembangkang beragama Islam. Biar pun jumlah itu berkurang kepada 69 orang sekarang kerana 5 daripadanya membawa lari amanah rakyat.
Maka mengambil kira kebimbangan tersebut penyatuan ummah menjadi alternatif. Ia perlu digerak semula seperti Februari 2020.
Tanpa penyatuan ummah kemungkinan besar bendera Negara China akan berkibar pula di tempat lain. Kesedaran politikus Melayu perlu digerak. Mereka perlu digerak daripada dibuai mimpi peruntukan oh peruntukan.
0 Comments