KUALA KRAI:
Kerajaan negeri menyasar melahirkan masyarakat yang sihat, sejahtera dan
berkualiti menjelang tahun 2030.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, usaha itu dijangka dapat dicapai menerusi pelaksanaan agenda Kelantan Sihat yang digerakkan secara bersepadu bersama inisiatif Kelantanku Bersih dan Kelantan Hijau.
Katanya, matlamat tersebut selari dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang menekankan pembudayaan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.
“Kesihatan tidak boleh dipisahkan daripada aspek kebersihan persekitaran dan kelestarian kerana ia merupakan elemen penting bagi melahirkan masyarakat yang produktif serta mempunyai kualiti hidup.
Program berkenaan dianjurkan bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Krai, Klinik Kesihatan Bandar Kuala Krai dan Majlis Daerah Kuala Krai.
Hilmi berkata, program SIS merupakan antara inisiatif utama di bawah ANMS yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi membudayakan amalan hidup sihat serta meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan.
Katanya, program itu memberi tumpuan saringan kesihatan dan pengesanan awal penyakit selain menggalakkan masyarakat mengamalkan langkah pencegahan sebelum berdepan masalah kesihatan lebih serius.
“Program ini juga membantu memupuk kesejahteraan mental dan emosi serta meningkatkan rasa tanggungjawab terhadap kesihatan diri, keluarga dan komuniti.
“Matlamat akhirnya melahirkan masyarakat yang aktif, sihat dan produktif,” katanya.
Menurut beliau juga sebanyak 54.4 peratus rakyat Malaysia dewasa berada dalam kategori berlebihan berat badan atau obes, manakala 15.6 peratus menghidap diabetes, 29.2 peratus hipertensi dan 33.3 peratus mempunyai paras kolesterol tinggi.
“Hampir 30 peratus orang dewasa pula didapati tidak aktif secara fizikal. Statistik ini menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh budaya hidup sihat dalam masyarakat,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengajak orang ramai membudayakan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 30 minit sehari serta menjadikan amalan berjalan kaki sebagai sebahagian daripada rutin harian.
Katanya, kempen tersebut turut dimulakan dalam kalangan petugas dan kakitangan Jabatan Kesihatan Daerah menerusi sasaran berjalan 10,000 langkah sehari.




0 Comments