KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan berhasrat membina sebuah sekolah tahfiz di kesemua sembilan jajahan di negeri itu bagi memperkasakan institusi pendidikan tahfiz.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, sekolah tahfiz terbaharu sedang dibina di Gua Musang dan Kuala Krai.
Katanya, sehingga sekarang hanya Jeli belum mempunyai sekolah tahfiz yang bernaung di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK).
"Arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu setiap jajahan ada sebuah tahfiz dan tahun lepas Menteri Besar, Dato' Panglima Perang mengumum Kuala Krai dan Gua Musang akan dibina sekolah tahfiz.
"Menteri Besar turut mengangkat cadangan tersebut kepada Perdana Menteri untuk membantu kita sekurang-kurangnya menyediakan peruntukan RM70 juta bagi membina bangunan akademik," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Guru Terbaik Mata Pelajaran Peperiksaan SMU/SMTQ/SMU (DINI)/STUP/SPM/STAM tahun 2023 di sini semalam.
Hadir sama Timbalan Pengarah YIK (Pengurusan), Mohd Kamaruddin Omar; Timbalan Pengarah YIK (Sekolah), Che Kamarudin Kamel Che Muhammad dan Timbalan Pengarah YIK (Kenaziran), Sukeri Hussin.
Wan Roslan juga berkata, difahamkan Perdana Menteri sudah bersetuju terhadap cadangan Menteri Besar, namun tiada susulan kerajaan persekutuan sehingga sekarang.
Media sebelum ini melaporkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan tertutup dengan pimpinan kerajaan Kelantan pada Mei lepas ketika berkunjung ke Kelantan.
0 Comments