Ihsan UKMB |
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 7 November 2024 – Hubungan Kelantan dan Linxia, China bermula pada tahun 2013 apabila kedua-dua pihak menandatangani perjanjian ikatan bandar kembar.
Perjanjian tersebut bertujuan memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pendidikan, dan kebudayaan.
Menteri Besar YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menyifatkan perjanjian ikatan bandar kembar berkenaan bukan sekadar simbolik, tetapi suatu usaha nyata untuk membina jambatan kerjasama antara dua wilayah yang berbeza budaya dan geografi.
“Hubungan yang terjalin ini terus berkembang dengan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada kedua-dua wilayah, termasuk dalam aspek pertukaran kepakaran, lawatan pelajar dan guru serta projek bersama yang mempereratkan hubungan kedua-dua negara.”
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat delegasi dari Kerajaan Linxia, Wilayah Gansu, China, di pejabatnya pada 4 November bersempena Ekspo Pelaburan Negeri Kelantan 2024 yang berlangsung di Kota Bharu.
“Kunjungan ini merupakan satu lagi langkah ke arah pengukuhan hubungan yang telah terjalin sejak lebih satu dekad lalu,” catatnya menerusi laman sosial pada Selasa.
Menurutnya lagi, Linxia, yang terkenal sebagai wilayah dengan populasi Etnik Muslim Hui terbesar di China, telah memainkan peranan penting dalam memperkenalkan Kelantan kepada budaya dan tradisi etnik Hui, sementara Kelantan pula menawarkan platform bagi pengembangan kerjasama dalam sektor pelaburan dan perdagangan.
Beliau berharap agar hubungan dua hala itu terus menjadi inspirasi dan membuka lebih banyak peluang ke arah kemakmuran bersama.
0 Comments