KOTA BHARU: Sejak diwujudkan dua dekad lepas Program Pembangunan Ladang Rakyat mengagih dividen bulanan berjumlah RM204.7 juta kepada semua peserta di seluruh negeri.
Timbalan Menteri Besar, Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kejayaan itu membuktikan hasil negeri diurus secara amanah, berintegriti dan berhemah.
Katanya ia mampu diterjemahkan sehingga memberi manfaat besar kepada rakyat secara berterusan dan berkesan.
“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan atas komitmen serta keupayaan mengemudi program ini dengan penuh dedikasi dan profesional,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.
Pada Isnin lepas hampir 5,000 peserta Ladang Rakyat menerima dividen berjumlah RM3.9 juta bagi tempoh Januari hingga April 2026 pada program yang diadakan di Wisma Ladang Rakyat, Tunjong.
Majlis Penyerahan Mock Cheque dan Slip Dividen Peserta Ladang Rakyat kali ke-70 itu dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.
Hadir sama anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat, pegawai kanan kerajaan dan wakil peserta Ladang Rakyat daripada setiap Dewan Undangan Negeri (Dun).
Program Pembangunan Peserta Ladang Rakyat dilaksana kerajaan negeri bermula Julai 2006. Peserta dipilih seramai 100 orang dari setiap Dun termasuk masyarakat Orang Asli.
Dividen terbabit diagih daripada hasil pembangunan Ladang Rakyat yang melibatkan keluasan lebih 90,000 ekar.
Dr Mohamed Fadzli juga berkata, kerajaan negeri sentiasa memastikan hasil pembangunan dapat dirasai rakyat secara langsung.
Menurutnya Program Ladang Rakyat menjadi antara instrumen penting negeri dalam usaha memperkasa kesejahteraan masyarakat menerusi sektor perladangan dan pertanian secara tersusun, mampan serta berimpak tinggi.
“Semoga segala usaha yang digerakkan ini terus diperkukuh agar manfaatnya dapat diperluaskan demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri secara menyeluruh.
“Insya-Allah kerajaan negeri akan terus memperkukuh pelbagai inisiatif pembangunan yang berteraskan kesejahteraan rakyat serta pengurusan ekonomi yang mampan dan berdaya tahan,” ujarnya.
Sempena program berkenaan Pengerusi Syarikat Ladang Rakyat Project Management Sdn Bhd Mohamad Nasriff Daud menyerah kunci van kepada Menteri Besar.





0 Comments