oleh: Norzana Razaly
JELI, 14 November – Inovasi kolaboratif petani KITABINA dan pasukan penyelidik Politeknik Jeli Kelantan (PJK) meraih pingat emas dalam 9th Agrotechnology and Aquaculture Projects Exhibition (APEX9).
Penilaian yang melibatkan kajian keberkesanan EM MAS10 terhadap simbiosis akuaponik ikan dan tumbuhan itu juga dinobatkan sebagai projek terbaik dalam kategori kajian pada pameran Projek Tahun Akhir tersebut yang berlangsung di PJK, pada Rabu.
Menurut Ketua Program Teknologi Akuakultur yang juga Ketua Penyelidik Projek, Ts Ahmad Kamil Kamarudin kajian tersebut yang menumpukan kepada keberkesanan penggunaan EM MAS10 dalam sistem akuaponik terapung tilapia dan salad itu telah mendapat pengiktirafan tinggi daripada panel penilai yang terdiri daripada pakar industri, penyelidik dari pusat penyelidikan perikanan, serta pensyarah-pensyarah universiti dan pensyarah kanan politeknik.
"Kejayaan ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan kerana produk organik EM MAS10 ini ialah inovasi NGO petani KITABINA yang mencerminkan usaha gigih dan komitmen tinggi komuniti petani dalam memperkenalkan teknologi pertanian yang lebih mampan dan inovatif," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, dengan inovasi pemain industri dalam kalangan orang awam membantu ahli akademik untuk mempertingkatkan kajian di lapangan.
"Harapan kita semoga EM MAS10 dapat dipatenkan segera untuk impak positif dalam sektor akuakultur serta pertanian di Kelantan dan negeri lain semakin cerah," jelasnya.
Kejayaan itu juga katanya, menjadi bukti bahawa kolaboratif antara penyelidik dan petani dapat menghasilkan penyelesaian yang praktikal dan berkesan bagi meningkatkan hasil pertanian secara lestari.
0 Comments