Ticker

6/recent/ticker-posts

PUSAT KHIDMAT DUN DIBEKALKAN BUKU MANUAL PENGURUSAN

Oleh: Che Maziah Mat

KOTA BHARU, 14 November - Menyedari keperluan untuk meningkatkan keberkesanan pengurusan di semua Pusat Khidmat Dun (PKD), kerajaan negeri melalui Unit Pemantauan dan Pelaksanaan Strategik (SPARK) menerbitkan sebuah dokumen rasmi Standard Pengurusan dan Pentadbiran PKD Kelantan sebagai rujukan bersama oleh Pegawai Tadbir PKD.


Pengarahnya, Dr. Mohd Huzairi Awang berkata, penerbitan dokumen rasmi tersebut merupakan langkah penting bagi memperkukuhkan kepercayaan rakyat melalui pengurusan yang profesional, berintegriti dan berakauntabiliti seperti yang ditekankan dalam Pengurusan Ihtirafi.

“Kita adalah satu-satunya negeri yang menerbitkan dokumen rasmi ini dengan matlamat untuk memastikan keberkesanan kelancaran keteraturan dan kesempurnaan pentadbiran dan oprasi PKD berjalan dengan baik.

“Hal ini kerana PKD memainkan peranan besar menjadi penghubung antara kerajaan dengan rakyat dan sebaliknya dalam usaha untuk menyelesaikan aduan, melaksanakan program dalam komuniti dan sebagainya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Sesi Libat Urus Standard Pengurusan dan Pentadbiran PKD Kelantan yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim semalam.

Sesi libat urus tersebut melibatkan semua Ahli Dewan Negeri dan Penyelia DUN, Pegawai Tadbir PKD serta agensi berkaitan seperti urus setia-urus setia kerajaan negeri, Yayasan Amanah Tok Kenali, Pusat Kajian Strategik dan juga Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG).

Sementara itu, buku manual Standard Pengurusan dan Pentadbiran PKD Kelantan telahpun dilancarkan secara rasminya pada 5 November lalu oleh Menteri Besar sempena Sambutan 34 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam. 




Post a Comment

0 Comments