Ticker

6/recent/ticker-posts

Judi: Tahniah Perlis!



Tahniah kepada Kerajaan Negeri Perlis atas usaha gigih dan komitmen yang luar biasa dalam memerangi judi. Langkah tegas yang diambil termasuk serbuan, tangkapan, sekatan laman web judi dan pemotongan bekalan elektrik premis judi membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan masyarakat. Usaha ini wajar dipuji kerana ia melibatkan tindakan yang konsisten dan menyeluruh untuk membanteras gejala sosial yang membahayakan ini.

Judi jelas haram di sisi Islam. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 219:


يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا

Maksudnya: "Mereka bertanya kepadamu (Wahai Rasulullah) mengenai arak dan judi. Katakanlah: 'Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya…'"


Tindakan Perlis ini merupakan usaha kolektif negeri-negeri SG4 dalam membasmi kemungkaran. Kedah menutup sepenuhnya semua premis perjudian mulai 1 Januari 2023 lalu. Manakala Terengganu pula telah menutup premis judi sejak 31 Mac 2000.

Kelantan telah mengharamkan judi sejak 1990 dengan pengumuman tegas oleh Menteri Besar Kelantan, Almarhum Tok Guru Tan Sri Dato' Bentara Setia Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 8 Disember 1990. Keputusan tersebut hanya dua bulan selepas beliau mengambil alih kepimpinan negeri bukan sahaja mendapat sokongan padu daripada umat Islam malah turut disokong oleh golongan bukan Islam. Ini membuktikan bahawa pengharaman judi adalah isu kemasyarakatan yang melibatkan kesejahteraan bersama.

Bahaya dan mudarat judi amat besar seperti yang telah dijelaskan oleh para ulama. Judi boleh membawa kesan buruk kepada individu, keluarga, dan masyarakat serta memberi impak negatif kepada negara. Ia bukan hanya merosakkan moral dan akhlak, tetapi juga mengundang masalah sosial seperti jenayah, pemusnahan keluarga dan kerosakan ekonomi. Oleh itu pengharaman judi adalah langkah yang tepat untuk melindungi masyarakat dan negara daripada kesan-kesan buruk tersebut.


Lajnah Penerangan Dewan Ulama Pas Kelantan

12 Jamadil Akhir 1446/ 14 November 2024

Post a Comment

0 Comments