Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 14 November - Dalam tempoh lima tahun ini, Kerajaan Negeri Kelantan telah memperuntukan hampir satu juta untuk teknologi permanian beradas.
Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi, YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, memandangkan sambutan terhadap teknologi permanian beradas sangat menggalakkan, Kerajaan Negeri Kelantan telah memperuntukkan sebanyak RM942,184 dalam tempoh lima tahun.
"Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukan hampir satu juta dalam tempoh lima tahun untuk kos subsidi pembelian straw semen baka lembu untuk diagihkan kepada jurusuntik permanian beradas yang dilantik.
"Ini adalah sebagai satu usaha untuk meningkatkan populasi baka lembu premium di Kelantan. Dengan peruntukan sebanyak RM942,184 itu, sebanyak 35434 semen baka lembu dapat dibeli dalam tempoh lima tahun.
"Untuk tahun ini pula, Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukan sebanyak RM650,000 di bawah projek Pembiakan Pintar Ternakan bagi membeli 15900 straw semen lembu baka premium seperti Charolais, Limousin dan Blonde."
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Sambutan Jubli Emas Teknologi Permanian Beradas Negeri Kelantan, di sebuah hotel di sini, pada Selasa.
Menurut beliau lagi, teknologi permanian beradas telah mula bertapak di Kelantan sejak tahun 1973 lagi iaitu lebih dari 50 tahun.
"Ini satu tempoh yang sangat lama dan matang, insya Allah, kita boleh merancang supaya penternakan lembu di Kelantan semakin berkembang dengan baik. Kita juga kenalpasti banyak spesis lembu yang boleh diternak di Kelantan setelah berlaku penyesuaian iklim, suasana dan kaedah penternakan yang semakin baik," katanya.
Untuk rekod, sejak tahun 1973, sebanyak 390,458 suntikan permanian beradas telah dilakukan dengan 192,296 ekor anak lembu berjaya dihasilkan.
Hadir sama, Timbalan Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi, YB Dato' Shaari Mat Hussain, Pengarah Bahagian Pembangunan Genetik dan Teknologi Penternakan, Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar, Putrajaya, Dr Saifullizam Abdul Kadir, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Kelantan, Dr Yahasmida Yaacob, Timbalan Pengarah (Pengurusan) JPV Kelantan, Shahiran Shaari, Pengerusi Persatuan Jurusuntik Permaninan Beradas, Teknologi Harun Hazim serta 75 jurusuntik.
0 Comments