Oleh ARUS LEBIR
DI era Madani jarang kedengaran ada badan kajian meneropong prestasi kerajaan. Kalau ada pun berkaitan inflasi. Apa yang sering diuar-uar Kerajaan Madani berjaya mengawal ekonomi.
Info tersebut bukan sekadar dikongsi badan kajian, sebaliknya disebut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. Menurutnya kenaikan harga makanan dan minuman disifatkan sebagai terbaik sejak Anwar Ibrahim menerajui negara.
Kata menteri PKR terbabit sejak pertukaran kerajaan pada 2018, inflasi makanan dan minuman paling rendah direkodkan pada Julai iaitu 0.7 peratus.
“Ia kekal rendah hingga Mei 2019 sebelum meningkat kepada 1.2 peratus, kesan daripada penghapusan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST),” katanya pada media.
Benarkah begitu. Sedangkan situasi di bawah agak berbeza. Apa pun pada 2019 kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak diterajui Anwar. Presiden PKR masih berada di luar kerajaan. Kejayaan itu tidak dinafikan hasil usaha Dr Mahathir Mohamad.
Ketika itu Bersatu masih lagi berada dalam kerajaan PH. Umno dan Barisan Nasional (BN) pula di luar kerajaan. Maknanya data dikongsi menteri ekonomi memperlihatkan keupayaan Tun dan pemimpin Bersatu terajui negara.
Siapakah Menteri Hal Ehwal Ekonomi pada 2019. Yang jelas bukan Rafizi. Individu terbabit ialah Azmin Ali. Manakala Muhyiddin Yassin pula Menteri Dalam Negeri. Maknanya kadar inflasi rendah berlaku di era awal kerajaan PH.
Era PH-BN
Sebaliknya, situasi berbeza di era kerajaan PH-BN. Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) memberi gred D terhadap kerajaan pimpinan Anwar.
Bersih memberi markah 45.8 peratus sepanjang dua tahun Anwar mentadbir negara.
Kata Pengerusi Bersih Muhammad Faisal Abdul Aziz, pemarkahan yang diberi menunjukkan wujud jurang signifikan aspek kemajuan, progres dan tindakan ke arah pelaksanaan reformasi.
Maknanya markah diberi bukan sembrono. Bersih melihat aspek manifesto pilihan raya sebagai keutamaan.
“Dalam 70 peratus skala pemarkahan akauntabiliti manifesto merangkumi Reformasi Pilihan Raya status 2 daripada 7 masih dalam progres, manakala selebihnya tidak dilaksanakan.
“Bahagian Reformasi Institusi 5 daripada 18 berjaya dilaksanakan, 7 dalam proses dan lain-lain tidak dipenuhi. Hak Kebebasan Sivil pula 3 sudah dibuat, 2 dalam proses serta 3 tidak terlaksana,” katanya.
Berkaitan penanda aras perbandingan dengan beberapa perdana menteri sebelum Anwar, capaian skor 18 daripada 30 peratus.
Kenyataan Bersih dibidas pegawai Anwar dengan menganggap sebagai gopoh dan dangkal. Itu kata setiausaha politik menteri kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim.
Lebih parah lagi seorang profesor dikatakan menyebut Bersih tidak layak menilai Anwar.
Bagaimanapun bagi Prof Wong Chin Huat, kalau Bersih dianggap tidak layak menilai perdana menteri, maka tiga bekas perdana menteri yang masih ada sekarang lebih layak.
Kata Wong Chin, bekas perdana menteri terbabit iaitu Dr Mahathir, Muhyididn dan Ismail Sabri.
“Apakah kalau mereka menjadi hakim, apa gred yang akan diberi terhadap Anwar,” katanya.
Skor F
Muhyiddin pula berkata, kalau tanya beliau jawapannya F, yakni gagal.
“Kami ada think tank membuat tinjauan, hampir semua terutamanya orang Melayu menolak kerajaan kerana merasakan tidak terbela,” katanya pada wawancara dengan sebuah akhbar.
Bagaimanapun Anwar tidak mudah melatah terhadap dapatan Bersih. Beliau dilapor optimis pentadbirannya kelak akan mendapat gred lebih baik.
Markah agak corot diraih Madani mungkin disebabkan bersekongkol dengan enam bekas ahli parlimen Bersatu yang belot. Kedudukan mereka tidak terjejas biar pun dianggap banyak pihak sebagai melanggar Akta Anti Lompat Parti.
Bukan sekadar gelaran YB masih kekal, malah mendapat limpahan peruntukan dan projek daripada kerajaan Madani.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu sudah menjangka akan berlaku kelompangan.
Menurutnya isu tersebut dibincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 April 2022.
“Ketika itu saya sudah mengenal pasti setiap kelompangan yang mungkin wujud dalam draf berkenaan berdasarkan kajian intensif terhadap pelaksanaan akta lebih kurang sama di Britain, India, New Zealand dan Singapura,” katanya kepada media.
Pada 11 Julai lepas enam bekas Ahli Parlimen Bersatu menyatakan akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat Bebas. Apabila secara terang-terangan mengumumkan sebagai wakil rakyat bebas apakah belum melanggar Akta Lompat Parti. Inilah keanehan di era madani.
Namun, mereka diselamatkan Speaker Dewan Rakyat. Johari Abdul memutuskan kerusi mereka tidak perlu dikosongkan. Hasil tindakan itu maka tidak hairan Bersih memberi markah D. Muhyiddin pula sebut F. Apa makna semua itu.
0 Comments